Johor rancang bina lapangan terbang di Mersing

 |Feb 15, 2017
Gambar fail kredit Facebook Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin.
Gambar fail kredit Facebook Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin.

Kedatangan pelancong ke kawasan Mersing yang terletak kira-kira 130 km dari pusat bandar Johor Bahru dijangka bertambah rancak pada masa depan.

Ini berikutan rancangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang di daerah terbabit bagi meningkatkan jaringan hubungan di antara Mersing dengan kawasan di sekitarnya.

Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan itu diusulkan kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.

“Memang kita (kerajaan negeri) ada minta (Mersing dibina lapangan terbang) dan setakat ini, Kementerian Pengangkutan sedang membuat kajian.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk membina sebuah lagi lapangan terbang di Pontian tetapi itu hanyalah perancangan jangka panjang dan ia cuma sudah dibincangkan di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina MCA Johor 2017 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA Liow Tiong Lai serta Timbalan Presidennya Wee Ka Siong.

Sementara itu, Liow yang diminta mengulas perkara berkenaan berkata: “Sekarang ini kita mempunyai 2 pilihan sama ada akan membinanya di Pulau Tioman (Pahang) atau di Mersing kerana kita hendak sektor pelancongan di kedua-dua tempat itu bertambah rancak,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Liow berkata pihaknya memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Khaled untuk terus membawa arus perubahan di negeri ini, baik daripada segi ekonomi, politik dan sebagainya.

“Sejak beliau mengambil alih pentadbiran, banyak perancangan dan program dilaksanakan sehingga Johor mempunyai pertumbuhan ekonomi yang pesat,” katanya. – Bernama