Jika BR1M rasuah, kerajaan Selangor juga lakukan ‘sogokan’ lebih dahsyat, kata ahli Umno

Jan 5, 2017
Gambar fail kredit Facebook Azmin Ali.
Gambar fail kredit Facebook Azmin Ali.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali kini menerima kritikan setelah bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang menyatakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah sesuatu yang berbentuk sogokan.

Terbaru, Ketua Penerangan Pemuda Umno Selangor Mohd Nazri Amin bertanya adakah pemberian skim air percuma 20 meter padu untuk setiap kediaman di Selangor serta Tabung Warisan Anak Selangor juga boleh dianggap rasuah.

Seperti dilaporkan Umno Online, beberapa contoh lain kemudahan diberikan Selangor turut disenaraikan, antaranya Perkhidmatan Bas SMART, Program Tuisyen Rakyat, Hadiah Masuk Universiti dan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS).

“Jika itulah dijadikan perbandingan bukankah jelas kerajaan negeri Selangor yang diterajui pembangkang telah melakukan ‘sogokan’ yang lebih dahsyat,” kata Mohd Nazri.

Terdahulu, Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail menyatakan pendapatnya bahawa BR1M bukan merupakan rasuah.

Seperti dilaporkan The Malay Mail Online, Wan Azizah berkata apa sahaja yang diberikan kerajaan perlu diberikan kepada rakyat.

“Ia bukan rasuah,” katanya.

“Hak mereka untuk mendapatnya dan jika mereka layak mendapat bantuan kerajaan, saya fikir ia perlu diberikan,” Wan Azizah dipetik berkata.

Mohamed Azmin walaubagaimanapun tidak bersetuju dan berpendapat pemberian BR1M adalah bantuan yang tidak mampu menjana ekonomi.