Jangan politikkan Himpunan 355, kata Iskandar

Jan 10, 2017
Iskandar Abdul Samad berkata Himpunan 355 tidak seharusnya dipolitikan oleh sesiapa. - Gambar fail kredit Facebook Iskandar Abdul Samad.
Iskandar Abdul Samad berkata Himpunan 355 tidak seharusnya dipolitikan oleh sesiapa. – Gambar fail kredit Facebook Iskandar Abdul Samad.

PAS menyifatkan Himpunan 355 yang ingin diadakan umpama perarakan Maulidur Rasul maka tiada sebab untuk ia dihalang atau dicurigai.

Oleh sebab itu, pesuruhjaya PAS negeri Selangor Iskandar Abdul Samad di dalam satu kenyataan hari ini berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar membenarkan himpunan menyokong pindaan kepada Akta 355 itu diadakan.

“Jika pada perarakan Maulidur Rasul umat Islam turun beramai-ramai untuk menyatakan rasa kasih mereka terhadap Rasulullah SAW tetapi himpunan Akta 355 itu umat Islam turun menyatakan sokongan mereka terhadap usaha memperkasakan Mahkamah Syariah kerana rasa kasih mereka terhadap agama Islam,” Iskandar berkata.

“Kedua-dua perarakan dan himpunan itu merupakan cara umat Islam menyatakan komitmen dan kasih mereka terhadap agama. Komitmen untuk melihat Mahkamah Syariah diangkat akan martabatnya.”

Terdahulu dilaporkan PAS bercadang untuk mengadakan himpunan tersebut di Dataran Merdeka pada 18 Februari untuk menjelaskan kepada rakyat berkenaan pindaan kepada Akta 355.

Memetik laporan Free Malaysia Today semalam, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata piak polis akan membenarkan himpunan tersebut jika penganjur patuh dengan syarat ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Iskandar hari ini menjelaskan bahawa himpunan tersebut tidak seharusnya dipolitikan oleh sesiapa kerana mereka yang turun adalah semata-mata didorong oleh rasa tanggungjawab mereka terhada agama Islam.

Beliau juga berkata masyarakat bukan Islam tidak perlu resah kerana pindaan kepada akta itu tidak melibatkan mereka.