Jangan pandang belakang, patung Annabelle jadi ‘pemerhati’ pengguna perkhidmatan RapidKL

 |Aug 2, 2017
Gambar kredit Facebook Rapid KL.

PETALING JAYA: Pengendali laman sosial RapidKL disifatkan sebagai bijak dalam mendidik orang ramai apabila menjadikan patung hantu Annabelle yang juga watak dalam filem seram Annabelle dan The Conjuring sebagai ‘pemerhati’ penumpang LRT, MRT dan Monorel.

Dua gambar patung misteri itu dimuat naik di halaman Facebook RapidKL pada petang Selasa, masing-masing menunjukkan ia sedang duduk di dalam tren MRT dan ditinggalkan keseorangan di atas mesin pengimbas tiket di sebuah stesen LRT.

“Kepada pelanggan yang dihargai, baru-baru ini kami menerima kunjungan mengejut dari Annabelle.

“Jaga tingkah laku anda semasa berada di dalam tren kami atau dia akan menghantui anda selama-lamanya,” tulis keterangan yang mengiringi gambar-gambar tersebut.

Patung tersebut dianggap sebagai mesej simbolik kepada penumpang agar lebih berhemah dan menjaga tingkah laku apabila menggunakan perkhidmatan tersebut.

Netizen menganggap gambar tersebut sebagai satu teguran sinis kepada pengguna yang melakukan tindakan kurang wajar dan perbuatan vandalisme.

Secara keseluruhan, netizen terus memuji usaha kreatif bahagian media sosial RapidKL yang mengendalikan pertanyaan serta komen pengguna dengan baik.

Sejak kebelakangan ini, pengendali laman Facebook RapidKL dilihat mengambil pendekatan menyampaikan mesej mengenai kesedaran sivik sambil menghiburkan pengikutnya.

Isnin lalu, sekeping gambar seorang penumpang yang baring di atas kerusi di dalam tren dimuat naik dengan keterangan menggunakan lirik lagu ‘I Am Me’ nyanyian jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida yang telah diubah suai.

“Come to me, sayang sayang sayang. Say with me, sayang sayang sayang. Please don’t sleep, sayang sayang sayang. On MRT, sayang sayang sayang,” tulisnya.

Antara lain pengguna perkhidmatan itu dinasihatkan supaya memberi tempat duduk yang kosong kepada orang lain, tidak makan di dalam tren, tidak membuang sampah merata-rata dan tidak bergayut pada kemudahan pemegang besi. – MO