Jangan kelirukan rakyat, titah Sultan Johor

 |Feb 23, 2017
Pic credit Johor Royal Press Office via Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pic credit Johor Royal Press Office via Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan ahli politik dari luar negeri ini supaya jangan mengelirukan rakyat dan memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor dengan mencampuri urusan negeri ini.

Baginda bertitah rakyat Johor telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai sehingga kini, justeru orang luar tidak perlu berlagak pandai atau mengajar apa yang patut dibuat untuk kesejahteraan negeri ini.

“Rakyat Johor tidak akan terpengaruh dengan tipu helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan cerita dongeng…mungkin orang luar ini telah lupa zamannya telah berlalu.

“Dahulu, dia (ahli politik dari luar negeri) sering menyindir Melayu mudah lupa, hari ini dia sendiri menunjukkan sifat pelupanya, dulu kata pembangkang musuh ketat tetapi boleh duduk semeja menjadi kawan rapat, kata media barat suka buat cerita sekarang cerita media barat dikatanya fakta,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Galeri Darurat BukitĀ  Kepong, di Bukit Kepong di sini dan berangkat sama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah manakala Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut hadir.

Sultan Ibrahim menasihatkan kepada orang luar itu supaya “tidak sibuk menjaga tepi kain orang dan lebih baik membetulkan kain sendiri yang telah reput dan koyak”.

Baginda bertitah sejak kecil lagi baginda telah dididik untuk menjaga negeri ini dan tahu apa yang terbaik untuk Johor, justeru baginda tidak akan menganiaya rakyat sendiri.

“Kejayaan yang dicapai ini kerana adanya hubungan yang baik antara saya dengan menteri besar sekarang,” titahnya.

Titah baginda, apabila sampai ke tahap baginda tiada kudrat untuk memerintah negeri ini, baginda akan turun takhta dan menyerahkan pemerintahan negeri ini kepada puteranya.

“Saya tidak akan campur tangan atau kecam raja baharu yang memerintah, lepas itu awak (rakyat) terimalah raja baharu dan ikut perintah dia. Jangan nanti saya dihantar ke rumah orang tua sudah lah,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim mengalu-alukan usaha kerajaan membina galeri tersebut sebagai mercu tanda sejarah dan ingatan kepada generasi akan datang tentang perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara.

“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan kerajaan terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia adalah amat tinggi dan mereka sentiasa dihormati serta dianggap sebagai tulang belakang kepada ketenteraman tanah air,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota polis supaya terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, berdisiplin, jujur dan amanah untuk mengekalkan keamanan negara.

Dibina dengan kos RM11.5 juta, Galeri Darurat Bukit Kepong setinggi dua tingkat itu siap dibina pada akhir tahun lepas. – Bernama