Jangan bohong, rakaman itu masih ada pada saya, kata Ahmad Zahid

 |Aug 4, 2017
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bertemu dengan ‘seorang individu’ selepas 10 hari dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dua tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan pertemuan tersebut bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dan pertemuan berkenaan mendapat keizinan daripada Presiden Umno itu sendiri.

Menurutnya, perbualan ketika pertemuan tersebut dirakam dan masih berada dalam simpanannya serta pihak berkenaan.

“Pemimpin (individu) itu menyatakan bahawa beliau telah meminta beberapa pemimpin pembangkang untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang telah kehilangan jawatan ketika itu untuk membuat undi tidak percaya di kalangan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.

“Kalau undi tidak percaya gagal, langkah kedua akan dilakukan iaitu menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu untuk mohon Yang di-Pertuan Agong memecat Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu yang dikongsikan menerusi video di laman sosialnya hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Pakatan Harapan mendakwa Ahmad Zahid ada bertemu dengannya bagi mendapatkan sokongannya mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Jangan berbohong. Rakaman itu masih ada pada saya. Mereka mudah lupa, tetapi saya tidak lupa. Orang itu berbohong katakan saya yang akan jatuhkan perdana menteri,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata mustahil beliau mahu menjatuhkan Najib, memandangkan beliau sendiri terhutang budi dengan perdana menteri yang melantiknya sebagai setiausaha politik pada tahun 1987. – MO

SHARE