Jamilah Anu calon BN bagi PRK Tanjung Datu

 |Feb 1, 2017
Gambar fail kredit Facebook Adenan Satem.
Gambar fail kredit Facebook Adenan Satem.

Jamilah Anu telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Datu di Sarawak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, mengikut laporan portal Sarawakiana.

Jamilah merupakan balu kepada Adenan Satem yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu sebelum ini.

Pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi tersebut setelah mengalahkan calon PKR Jazolkipli Numan.

Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia pada 11 Januari lepas akibat komplikasi jantung.

Terdahulu, PKR Sarawak mengumumkan mereka tidak akan bertanding di PRK Tanjung Datu.

Hari mengundi bagi PRK Tanjung Datu telah ditetapkan pada 18 Februari, sementara penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.