Jamal tawar diri jadi presiden FAS

Jan 10, 2017
Gambar kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.
Gambar kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.

Sedang masyarakat Malaysia hangat memperkatakan tentang kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, ketua baju merah Jamal Md Yunos muncul menawarkan diri untuk jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Menurut muat naik gambar di laman Facebooknya, Jamal hadir di pejabat FAS hari ini dengan wajahnya dicat warna merah dan kuning melambangkan skuad Selangor.

Beliau yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar menulis di Facebook, “Alhamdulillah, selesai niat saya menghantar surat menawarkan diri selaku Presiden FAS.”

“Terima kasih buat semua sahabat-sahabat dan penyokong-penyokong bola sepak Selangor yang senantiasa mendoakan,” katanya lagi.

Beliau turun ke pejabat FAS hari ini bersama sekumpulan penyokongnya. Turut kelihatan di dalam gambar ialah ahli Majlis Tertinggi Umno Shohaimi Shahadan.

Laman berita Sinar Harian melaporkan Jamal memberitahu media bahawa surat tawaran tersebut diserahkan kepada Exco FAS Adnan Sarrif.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Selangor mampu bersaing dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang menurutnya ‘disebutkan kelab JDT ini lebih maju ke depan’.

Selain dari itu, Jamal juga berjanji menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas hanya 14 hari dilantik presiden.

Jamal menawarkan diri susulan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan sebagai presiden FAS Disember lalu.

SHARE