Jamal jumpa Noh Omar

 |Feb 8, 2017
Jamal Md Yunos (kanan) mengadakan pertemuan bersama Noh Omar hari ini. - Gambar kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.
Jamal Md Yunos (kanan) mengadakan pertemuan bersama Noh Omar hari ini. – Gambar kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar hari ini mengadakan perjumpaan bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar.

Difahamkan, perjumpaan tersebut adalah mengenai pengumuman dibuat Jamal semalam bahawa beliau ingin melepaskan jawatannya di dalam Umno.

Jamal telahpun memuatnaik beberapa gambar perjumpaan tersebut di laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Di dalam sidang media yang diadakannya semalam, Jamal berkata beliau tidak mahu Umno terpalit dengan tindakannya, berikutan beliau disiasat polis atas dakwaan saman berkumpulan.

Jamal juga berkata beliau rela berkorban dan melepaskan jawatannya kerana beliau sayangkan Umno.

“Saya sayangkan Umno, saya sayangkan parti yang selama ini telahpun banyak jasanya dalam negara ini,” katanya.

Pemimpin gerakan Baju Merah itu berkata walaubagaimanapun beliau menyerahkan kepada Noh untuk mempertimbangkan keputusan yang telah dibuatnya itu.

Terdahulu, Jamal bersama kumpulannya bertindak ‘menyerbu’ beberapa premis judi di Selangor atas alasan ingin mendedahkan masalah premis judi haram yang masih berleluasa.

Susulan itu, beliau dan sembilan yang lain ditahan polis bagi membantu siasatan. Jamal juga dikenakan perintah reman selama empat hari.