‘Jaga diri sendiri, Kit Siang tak perlu selamatkan Malaysia’

 |Jul 11, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang dinasihatkan untuk memberi tumpuan dengan menyelamatkan partinya dan diri sendiri daripada cuba menyelamatkan Malaysia dengan mematuhi arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Perkara ini dinyatakan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menyifatkan kepimpinan Kit Siang sudah berada di penghujung ‘garisan’ dan perlu menyelamatkan dirinya daripada rasa malu dan kemarahan yang dibangkitkan oleh pergerakan anti-Lim.

“Orang yang menganggap dirinya sebagai penyelamat Malaysia tetapi tidak dapat menyelamatkan DAP, kerana pemerintahannya dilihat adalah untuk dirinya sendiri,” kata bekas ahli DAP itu dalam satu sidang media di Hotel Eastin di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, sekiranya DAP patuh terhadap arahan RoS untuk mengadakan pemilihan baru, ini mampu membawa perubahan kepimpinan dalam parti pembangkang tersebut.

Jelasnya, atas alasan tersebut, DAP dilihat enggan mematuhi arahan RoS.

Beliau mendakwa pada 2012, sumber maklumat DAP memaklumkan halangan besar bagi mereka adalah Timbalan Pengerusi, Dr Tan Seng Giaw.

Tunku Abdul Aziz menyifatkan Dr Tan sebagai ahli politik veteran DAP yang mempunyai integriti peribadi yang sempurna dan seorang demokrat sejati.

“Ini adalah alasan utama Kit Siang sanggup “menggerakkan gunung” bagi memastikan Dr Tan tidak menyertai pemilihan baru dan akan menggunakan pelbagai cara supaya Dr Tan tidak menduduki tangga pertama dalam parti.

“Mematuhi arahan RoS akan membawa bencana, maut dan perjalanan akhir untuk dinasti politik (Lim),” katanya.

Menurutnya, dengan mematuhi arahan RoS, ia akan membuka ruang bagi penyokong Dr Tan.

Jelasnya lagi, RoS tiada niat untuk menggantung atau membatalkan parti tersebut kerana parti DAP adalah sah.

Namun, perkara yang salah adalah pemilihan CEC pada 2012 dan 2013 yang telah melanggar perlembangaan parti itu sendiri.

“Ini memberi peluang kepada mereka untuk mengelirukan rakyat sedangkan RoS hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang,” katanya.

Tunku Abdul Aziz menyifatkan individu yang layak memimpin DAP sekaligus menamatkan kepimpinan yang sudah tersasar daripada menjadi pembangkang yang lebih bertanggungjawab seiring dengan kehendak demokrasi baru Malaysia, adalah Dr Tan.

Pada 2013, DAP mengadakan pemilihan semula CEC selepas mendakwa berlaku kesilapan yang mempengaruhi keputusan pemilihan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, aduan yang dibuat ahli selepas pemilihan semula pada 2013 yang menyebabkan RoS mengisytiharkan CEC DAP dan kepimpinan tertinggi tidak sah.

Minggu lalu, RoS mengeluarkan kenyataan mengenai pendaftaran DAP tidak akan dibubarkan tetapi parti itu mesti mengadakan pemilihan semula 20 anggota CEC susulan aduan daripada sesetengah anggota parti berhubung manipulasi undi. – MO