Isu Malindo Air: Liow Tiong Lai arah MAHB siasat

 |Aug 8, 2017
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan satu pertemuan sudah dilakukan bersama Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Tan Sri Syed Zainol Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail bagi membincangkan isu tunggakan cukai lapangan terbang Malindo Air yang kini dikatakan mencecah RM70 juta.

Menurutnya, pertemuan yang diadakan pada minggu lalu memfokuskan kepada isu Malindo Air dan pihaknya mengarahkan MAHB menyiasat perkara tersebut.

“MAHB akan berbincang dengan pihak penerbangan (Malindo Air) mengenai perkara ini.

“Kita biarkan mereka menjalankan kerja dan satu keputusan akan dibuat nanti,” katanya di sidang media selepas merasmikan Majlis Lukisan Dinding Tapak Tangan Patriotik di Jalan Genting Klang di sini, hari ini.

Tiong Lai ketika ditanya mengenai gesaan pihak yang mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan kerana didakwa bimbang berlaku penyelewengan, menjelaskan pihak berkenaan perlu tampil dengan bukti yang kukuh.

“Setakat ini kami tidak menerima sebarang aduan daripada pelanggan atau mana-mana pihak.

“Mereka yang mendakwa dan mahu siasatan daripada SPRM perlu kemukan bukti dan kami bersedia,” katanya.

Syarikat penerbangan Malindo Air dikatakan tidak membayar cukai lapangan terbang bagi tahun 2017 dan memiliki hutang mencecah RM70 juta. – MO