‘Iron Man’ muncul di Pulau Pinang

Jan 3, 2017
Kehadiran Iron Man menghangatkan hari pertama persekolahan di SK Sungai Gelugor pagi tadi. - Gambar kredit Facebook Khairul Khai
Kehadiran Iron Man menghangatkan hari pertama persekolahan di SK Sungai Gelugor pagi tadi. – Gambar kredit Facebook Khairul Khai

Bagi murid-murid Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor di Pulau Pinang, pasti tidak menyangka hari pertama sesi persekolahan hari ini membawa kejutan yang menyenorokkan.

Menunggu di pagar sekolah, mereka disambut ‘Iron Man’, adiwira yang merupakan idola ramai.

Di Facebook, ramai berkongsi gambar Iron Man membuat penampilan istimewa.

Pengguna Facebook Khairul Khai berkongsi beberapa keping gambar dengan tulisan, “Sek Sg Gelugor…Ada Iron Man.. Yang penting anak-anak ibu belajar bersungguh-sungguh.”

Siti NorAishah Zainol turut berkongsi gambar yang diperolehi dari WhatsApp.

Seorang lagi pengguna Facebook Azli Sufryzal juga tidak ketinggalan membuat perkongsian, berkata, “Pi sekolah hari ni ada Iron Man…huyooo.”

Memetik laporan New Straits Times, kehadiran Iron Man merupakan buah fikiran guru besar sekolah tersebut, Fairus Ayub.

“Saya berpeluang menonton beberapa filem semasa cuti sekolah baru-baru ini, dan saya berfikir jika membawa seorang adiwira ke sekolah, ini pasti akan menghiburkan kanak-kanak,” katanya kepada New Straits Times.

Perancangannya juga bertujuan untuk mengurangkan kegusaran dialami oleh murid-murid tahun pertama.

Semalam, Bernama melaporkan kehadiran Ultraman serta Mickey dan Minnie Mouse di hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Rengit, Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Johor Bahru.

SHARE