Insiden letupan bunga api Klang: Dua pegawai MPK didakwa

 |Feb 28, 2017
Insiden bunga api sempena sambutan tahun baru di Klang mengakibatkan 15 orang mengalami kecederaan.

Dua kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan terlibat dalam insiden letupan bunga api yang mencederakan 15 pengunjung ketika sambutan ambang tahun baharu di Klang, awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin, 41, dan Mohd Nizam Saad, 32, membuat pengakuan itu di dua mahkamah berasingan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Majistret Mariam Maran Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Zaireezal didakwa bersubahat dengan Mohd Nizam iaitu mengarahkannya membakar bunga api itu di padang Kompleks Sukan Pandamaran pada 12.01 tengah malam pada 1 Jan lepas.

Mohd Nizam pula didakwa menyebabkan letupan bunga api itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa masing-masing melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 dan 20 April depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aliah Atiqah Razali dan Amira Abd Aziz manakala Zaireezal dan Mohd Nizam diwakili peguam V. Ayasamy. – Bernama