Impian Ben Nathan ke Jakarta bakal jadi kenyataan

 |Feb 15, 2017
Gambar kredit Suara TV.
Gambar kredit Suara TV.

Penyanyi era 80an Ben Nathan yang menerima perhatian pelbagai pihak susulan laporan media mengenai keadaan kehidupannya yang menyedihkan, bakal dibawa ke Jakarta.

Pelantun lagu Stanza Sepi Sekeping Hati yang sebelum ini hidup sebagai gelandangan sering memperkatakan dia akan ke Jakarta untuk merakam lagu.

Jika dilihat video yang menjadi viral sebelum kisah Ben dilaporkan oleh The Malay Mail, penyanyi itu kedengaran menyebut dia akan ke Indonesia kerana mempunyai sesi rakaman.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) DJ Dave juga memberitahu bahawa Ben sering mengulang impiannya itu dan beliau percaya ada orang yang pernah berjanji untuk membawa Ben ke sana tetapi tidak dikotakan.

“Jadi YA1M mendapat kerjasama daripada pengasas Jojo Events, Syed Mohd Yusof Syed Nasir untuk merealisasikan impian Ben,” kata Dave, dipetik Sinar Harian.

Berhubung status kesihatan Ben, Dave berkata penyanyi itu tiada masalah kesihatan dan bebas dadah, seperti diberitahu doktor dan ahli keluarganya.

Beliau memberitahu Ben walaubagaimanapun dibawa menjalani ujian MRI di bahagian kepalanya kerana doktor inginkan kepastian tentang keadaan Ben.

“Dia ingat semuanya, tetapi mengapa dia sering cakap perkara sama berulang kali,” kata Dave.