Ibu Mohd Faiz ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia

Jan 10, 2017
Jaringan yang dibuat Mohd Faiz Subri semasa perlawanan menentang Pahang tahun lalu menyaksikan beliau dinobat pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016. - Gambar kredit Youtube FifaTV.
Jaringan yang dibuat Mohd Faiz Subri semasa perlawanan menentang Pahang tahun lalu menyaksikan beliau dinobat pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016. – Gambar kredit Youtube FifaTV.

Bapa kepada pemain bola sepak Pulau Pinang Mohd Faiz Subri menyifatkan penantian keputusan Anugerah Puskas FIFA 2016 sebagai ‘antara debaran paling hebat’ dalam hidupnya.

Bercakap kepada Sinar Harian, Subri Kadir juga berkata beliau terharu mendengar ucapan penghargaan disampaikan anaknya yang kini berada di Zurich, Switzerland.

Ibu Mohd Faiz, Saidah Ishak pula menyampaikan rasa terima kasihnya kepada rakyat Malaysia yang telah mengundi anaknya.

“Saya berharap apa yang diraih ini dapat membakar semangatnya untuk terus berusaha memburu banyak lagi kejayaan pada masa hadapan,” Saidah dipetik berkata.

Berasal dari Kampung Pida 6, Ayer Hitam, Kedah, Mohd Faiz mengalahkan pemain Corinthian Marlone dari Brazil dan pemain bola sepak kebangsaan wanita Venezuela Daniuska Rodriguez dengan memperolehi 56.46% undian.

Ketiga-tiga mereka disenaraipendek untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 kategori gol tercantik setelah menerima undian dalam talian terbanyak berbanding calon lain termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil.

Mohd Faiz dicalonkan untuk sepakan percuma semasa perlawanan Liga Super di antara Pulau Pinang dan Pahang pada 16 Februari tahun lalu.

SHARE