Hospital Beyond Boundaries bakal buka klinik orang asli

 |May 15, 2017
Gambar kredit Facebook KBSMalaysia.

Hospital Beyond Boundaries (HBB) berhasrat membuka klinik pertama untuk Orang Asli di negara ini dalam tempoh lima tahun lagi, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HBB Dr Mohd Lutfi Fadli Lokman.

Beliau berkata pada masa ini, HBB melaksanakan projek perintis dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada Orang Asli di Kuala Woh, Perak.

Sebelum ini, HBB menubuhkan klinik dan hospital untuk etnik minoriti Cham di Kemboja dan memberi perkhidmatan kepada lebih 3,000 pesakit.

“Kita akan mengembangkan perkhidmatan ke Malaysia. Kita mahu memberi fokus kepada Orang Asli pula,” katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Khas pada penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2017 di Putrajaya, hari ini.

Dr Mohd Lutfi, 29, menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang membolehkannya membawa pulang cek bernilai RM10,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

Dr Mohd Lutfi berkata beliau terharu dan gembira dipilih sebagai penerima anugerah itu, yang dianggapnya sebagai tanggungjawab seorang ikon belia.

“Anugerah ini amat bermakna kepada saya kerana ia adalah dari negara saya sendiri,” katanya.

Sebagai duta belia Transformasi Nasional 2050 (TN50), beliau pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah United Nations Young Leader daripada 18,000 pencalonan dari 186 negara di seluruh dunia. – Bernama