Harith Iskander terima trofi penghargaan daripada KKMM

Jan 3, 2017
Harith Iskander (kiri) bersama Salleh Said Keruak (tengah) dan Afdlin Shauki. - Gambar kredit Facebook Harith Iskander
Harith Iskander (kiri) bersama Salleh Said Keruak (tengah) dan Afdlin Shauki. – Gambar kredit Facebook Harith Iskander

Setelah dinobatkan sebagai ‘The Funniest Person in The World’, pelawak Harith Iskander menerima trofi penghargaan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di atas kejayaannya semalam.

Bernama melaporkan, trofi itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak.

Bercakap kepada pemberita, Harith melahirkan rasa terima kasihnya di atas penghargaan yang diberikan.

Kata pelawak kelahiran Johor itu, beliau masih terkejut dengan apa yang berlaku dan menyatakan bahawa ini merupakan penghargaan tertinggi pernah diterimanya sepanjang 26 tahun bergelar anak seni.

Di laman Facebook rasmi milik Harith, beliau berkongsi gambar acara penghargaan tersebut yang telah diadakan di Comedy Planet milik pelakon dan pengarah filem Afdlin Shauki.

Harith berkata kehadiran Salleh di majlis tersebut amat bersesuaian kerana Salleh telah memberikan sokongan padu terhadap penglibatannya di dalam pertandingan ‘The Funniest Person in The World’ dari mula.

Pada bulan Disember 2016, Harith diumumkan sebagai juara pertandingan ‘The Funniest Person in The World’ anjuran Laugh Factory yang telah diadakan di Finland.

Pertandingan tersebut disertai pelawak dari seluruh dunia dan Harith berjaya mara ke pusingan akhir di mana beliau menewaskan empat finalis lain.

Mula dikenali menerusi rancangan televisyen Jangan Ketawa pada era 90an, Harith juga merupakan seorang pelakon dan pengarah filem.

Filem pertama arahan beliau bertajuk Hanya Kawan yang dibintangi Hans Isaac dan Ella.

Antara filem lakonan Harith ialah Selubung, Sepet, Baik Punya Cilok, Buli Balik dan Cuci.

Beliau turut diberikan watak di dalam filem Hollywood Anna and The King disamping Chow Yuen Fatt dan Jodie Foster.