‘Harimau tua ini lebih baik bersara sepenuhnya’

 |Feb 27, 2017

Adakah bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berbohong atau beliau tidak lagi mampu membezakan antara rekaan dan fakta?

Ini persoalan diutarakan setiausaha akhbar Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad di dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada ucapan oleh Sultan Johor baru-baru ini, yang mana menurut Tengku Sariffuddin, turut mempersoalkan Mahathir.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu lalu berkata, “Dulu dia kata pembangkang adalah musuh tetapi kini dia boleh duduk semeja dengan mereka dan menjadi rakan karib. Dulu dia kata media Barat gemar mereka cerita, kini dia kata apa yang dilaporkan media Barat adalah fakta. Dulu dia mengkritik Melayu mudah lupa tetapi kini dia sendiri yang pelupa. Jika dia bukan pelupa, mungkin dia nyanyuk sedikit.”

Tambah Tengku Sariffuddin, pengamatan oleh Sultan Johor itu ‘jelas dalam tulisan blog terkini Mahathir yang menjatuhkan imej negara demi kepentingan politik peribadi dengan mengatakan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada sepuluh negara paling korup di dunia’.

“Hakikatnya, dalam senarai Transparency International yang terkini, Malaysia adalah negara ke-55 yang paling tidak korup di dunia,” kata Tengku Sariffuddin.

“Jelas, sama ada Mahathir berbohong ataupun dia tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan. Jika bukan begitu, mengapa dia kata Malaysia adalah antara 10 negara yang paling korup sedangkan Malaysia tersenarai antara satu pertiga daripada negara paling tidak korup di dunia?

“Realitinya, rakyat Malaysia tidak lagi boleh mempercayai apa-apa sahaja kata-kata U-turn  Mahathir. Kata-katanya amat memalukan, sama ada dia berbohong demi kepentingan politik atau sudah nyanyuk sepertimana yang dititahkan DYMM Sultan Johor.

“Harimau tua ini lebih baik bersara sepenuhnya,” katanya, yang merujuk kepada gelaran Harimau Asia dipegang Mahathir semasa memegang tampuk jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun.

Tengku Sariffuddin, juga di dalam kenyataan yang sama mendakwa bahawa bagi mengekalkan kuasa, Mahathir mencantas musuh politiknya.

“Timbalan Perdana Menterinya Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara kerana katanya negara kita tidak boleh ada Perdana Menteri yang homoseksual. Lim Kit Siang pula dikatakan ancaman kepada Melayu dan dipenjarakan juga.

“Harimau ini kini sudah tua. Kini dia suka sangat Kit Siang sehingga sanggup menerima pemimpin de facto pembangkang ini sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini agar anaknya Mukhriz boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya, merujuk kepada dakwaan bahawa terdapat pakatan sulit di antara Mahathir dan Kit Siang untuk melantik Mukhriz sebagai PM jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihanraya akan datang.

Dakwaan tersebut dibuat oleh bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, yang juga berkata, menurut sumber, Kit Siang akan dilantik sebagai TPM dan Menteri Kewangan.

“Kini Mahathir bersekongkol dengan Anwar dan berjabat tangan dengannya, nampaknya dia sanggup menerima seorang pesalah peliwat homoseksual sebagai seorang pemimpin Malaysia,” kata Tengku Sariffuddin lagi.

“U-turn sebegini oleh Mahathir amat menghairankan. Dulu Kit Siang dikatakan sebagai ancaman kepada Melayu tetapi kini tidak pula. Dulu dikatakan liwat adalah satu jenayah, kini diterima pula.

“Adakah harimau ini yang sudah lanjut usianya semakin keliru?” soal Tengku Sariffuddin.