Guan Eng digesa hentikan ‘lakonan’ terhadap isu pelaburan China

 |Feb 28, 2017
Gambar dimuatnaik Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong di laman Facebooknya yang menunjukkan beberapa pemimpin DAP termasuk Lim Guan Eng melawat Huang Huikang.

Pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng menyelar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana melawat Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang.

Kritikan diutarakan Teik Cheng adalah susulan dakwaan bahawa Lim bersetuju para pemimpin parti DAP menyerang pelaburan China.

Teik Cheng, yang merangkap ahli jawatankuasa pusat MCA mendakwa tindakan terbaharu DAP ini ‘memang tak tahu malu dan pendirian mereka tidak masuk akal’.

Baru-baru ini, sekeping gambar dimuatnaik di Facebook oleh Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong yang menunjukkan beberapa pemimpin DAP termasuk Guan Eng melawat Huang.

Teik Cheng bertegas Guan Eng perlu meminta maaf kerana menghina negara China sebelum ini, termasuk niat baik negara tersebut, sebelum layak untuk bercakap tentang pelaburan serta inisiatif ‘Satu Sabuk Satu Jalan’ (Belt and Road) China.

Sekiranya tidak memohon maaf, Teik Cheng mendakwa ini akan membuktikan DAP hanya pandai membangkang dan tingkah laku mereka tidak mementingkan etika antarabangsa dan mengabaikan kepentingan negara.

Katanya lagi, MCA telah banyak membantu ke arah inisiatif negara China menjalankan ‘Satu Sabuk Satu Jalan’ supaya dapat melaksanakan perancangan ekonomi antarabangsa di antara negara-negara jiran.

“Kerana sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA sentiasa menegakkan pendiriannya yang menyokong semua dasar dan polisi yang baik untuk ekonomi negara kita,” kata Teik Cheng di dalam satu kenyataan hari ini.

Tetapi, katanya, DAP telah bersikap sinis terhadap sokong diberikan MCA dan juga terhadap manfaat yang dibawa oleh China kepada Malaysia.

“Contoh yang paling ketara adalah apabila Duta Besar China Huang Huikang mengiktiraf usaha negara kita ke atas pembangunan pendidikan Cina dan seterusnya menyumbang wang kepada sekolah-sekolah rendah Cina Johor, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching pula bercakap dengan tidak bertanggungjawab dan mempolitikkan niat baik Duta Huang Huikang yang seterusnya mencetuskan gangguan. Ini telah menjejaskan imej negara kita,” kata Teik Cheng.

Seterusnya beliau memberikan contoh kerajaan BN yang telah menandatangani perjanjian perdagangan berjumlah lebih daripada RM100 billion selepas lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke negara itu.

Teik Cheng berkata rakan kongsi pakatan pembangkang, iaitu pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Mahathir Mohamad serta presidennya Muhyiddin Yassin tidak henti mengkritik perjanjian tersebut dengan mendakwa ia akan menjejaskan para peniaga tempatan.

“Chin Tong juga memijak Negara China dengan menuduh BN membiarkan pelaburan China masuk ke negara kita,” katanya.

Teik Cheng menggesa Guan Eng supaya tidak ‘berlakon lagi atas isu pelaburan China’.

Ini katanya adalah kerana Guan Eng masih berdiam diri dan tidak berani menegur dan memperbetulkan parti PKR dan Pribumi yang menolak dan mengkritik pelaburan dari China.