‘Guan Eng dan DAP rampas kredit hasil usaha orang lain’

 |Jan 24, 2017
Gambar fail kredit WIkimedia Commons.
Gambar fail kredit WIkimedia Commons.

Mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa negeri itu tidak akan dibebani masalah gangguan air, Oh Tong Keong mendakwa perkara itu sebenarnya adalah hasil usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional dahulu.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata antara pemimpin yang berjasa di dalam isu itu adalah Koh Tsu Koon.

“Sebelum adanya Empangan Teluk Bahang, hanya terdapat dua empangan di Pulau Pinang, iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Mengkuang.

“Disebabkan pernah berlakunya rakyat Pulau Pinang mungkin menghadapi krisis air pada masa itu, maka kerajaan negeri dibawah pimpinan Koh Tsu Koon selaku Ketua Menteri pada ketika itu membuat keputusan membina satu lagi empangan di Teluk Bahang, kontraktornya dari negara China.

“Empangan Teluk Bahang siap dibina dan mula beroperasi pada tahun 1999. Sepanjang waktu pembinaan projek ini, pemimpin-pemimpin negara China, termasuk bekas Presidennya Hu Jintao kerap kali datang ke Pulau Pinang membuat pemantauan. Oleh itu, pembinaan empangan Teluk Bahang merupakan salah satu tanda persahabatan dan hubungan diplomatik antara negara kita dengan negara China,” kata Oh.

Oh berpendapat penawaran perkhidmatan bekalan air bermutu tinggi dan tarif air di Pulau Pinang yang paling murah di Malaysia merupakan hasil usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Koh dan Gerakan.

“Namun begitu amat dukacitanya terdapat segelintir pihak yang mengambil kredit dari usaha orang lain,” katanya lagi.

Oh berkata demikian merujuk kepada Guan Eng yang baru-baru ini membawa pihak media ke Empangan Teluk Bahang dan menyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang isu gangguan air di Pulau Pinang.

“Maksud yang ingin disampaikan oleh Lim Guan Eng adalah, selagi negeri Pulau Pinang ditadbir oleh DAP, maka Pulau Pinang tidak akan mengalami sebarang masalah gangguan bekalan air sepertimana yang mungkin dialami oleh rakyat di negeri lain,” kata Oh.

“Tambahan pula, beliau juga menyarankan supaya rakyat di negeri lain tidak perlu risau datang ke Pulau Pinang kerana negeri Pulau Pinang tidak akan berlakunya sebarang isu gangguan bekalan air.

“Setakat kenyataan di atas, mungkin ada sesetengah individu akan mempercayai bahawa tidak akan berlakunya pencatuan air di Pulau Pinang merupakan jasa dan sumbangan Lim Guan Eng dan DAP,” dakwanya lagi.

Oh juga mendakwa ini bukan kali pertama DAP merampas kredit dari usaha orang lain.

Beliau kemudiannya memberi contoh industri perikanan di mana Guan Eng berkata sektor berkenaan di Pulau Pinang mula berkembang selepas pilihan raya umum ke-12.

“Hakikatnya, sektor berkenaan diasaskan sejak tahun 1999 oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, iaitu Sulaiman Daud di Pulau Gedung. Akan tetapi, Lim Guan Eng sering kali menegaskan bahawa beliau yang mengembangkan sektor berkenaan bermula pada tahun 2008 selepas tamatnya PRU ke 12.

Walaupun Barisan Nasional hilang kuasa mengurus tadbir negeri itu pada tahun 2008, Oh berkata kerajaan Persekutuan tetap berusaha berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang.

“Antara usaha pembangunan yang jelas terbukti ialah Jambatan Pulau Pinang Kedua, Projek Pembinaan Landasan Keretapi, projek pengubahsuaian dan penaiktarafan Empangan Mengkuang dan Projek Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Semua projek ini merupakan hasil usaha daripada kerajaan Persekutuan selepas tahun 2008, bagi tujuan untuk membangunkan sektor ekonomi Pulau Pinang. Itulah jasa dan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang tidak boleh dinafikan,” kata Oh.