Guan Eng cabar Ku Nan bahas isu WP

 |Feb 7, 2017
Gambar fail kredit Facebook Tengku Adnan Tengku Mansor.
Gambar fail kredit Facebook Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini mencabar Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor untuk berbahas secara terbuka berhubung cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Lim berkata beliau terbuka untuk mengadakan perbahasan secara umum mengenai cadangan itu dan berharap ia dapat disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

“Kami nak tahu kenapa nak jadikan Pulau Pinang sebagai sebahagian wilayah dan bukan negeri lain yang lebih miskin seperti Sabah dan Kelantan. Adakah mereka juga akan jadi sebahagian wilayah?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun sekali lagi menegaskan pihaknya tetap akan menolak cadangan Tengku Adnan itu.

Rabu lalu, Tengku Adnan mencadangkan perluasan kawasan Wilayah Persekutuan merangkumi Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka.

Negeri berkenaan akan diletak di bawah pentadbiran Putrajaya secara langsung dan bakal mendapat lebih peruntukan serta perhatian daripada Kerajaan Persekutuan. – Bernama