‘Giliran saya pula untuk memanggil Lim Kit Siang seorang penipu’

 |Jan 19, 2017
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata sekarang gilirannya pula untuk memanggil penasihat DAP Lim Kit Siang seorang penipu.
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata sekarang gilirannya pula untuk memanggil penasihat DAP Lim Kit Siang seorang penipu.

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim melahirkan perasaan gembiranya berhubung pendedahan terbaru dibuat bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengatakan DAP ada meminta untuk menjadi ‘timbalan’ sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

‘Timbalan’ di sini berkemungkinan merujuk kepada jawatan timbalan perdana menteri.

Bercakap kepada Malaysia Outlook, bekas naib pengerusi DAP itu berkata sekarang gilirannya pula untuk memanggil penasihat DAP Lim Kit Siang seorang penipu.

Terdahulu, AntaraPos melaporkan Mahathir telah menyangkal dakwaan kononnya DAP meminta jawatan Perdana Menteri sekiranya PH menang PRU14, tetapi mengakui mereka ada meminta jawatan timbalan.

Sebelum itu, Tunku Abdul Aziz mendakwa DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) telah membuat pakatan rahsia untuk menjadikan Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Lim sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya PH menawan Putrajaya pada PRU14.

Lim menafikan perjumpaan tersebut berlaku manakala Mukhriz menggesa Tunku Abdul Aziz mendedahkan sumber maklumatnya atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Berkata beliau akan menyaman mana-mana akhbar yang memainkan berita mengenai dakwaan tersebut, Lim memberitahu Malay Mail Online bahawa beliau tidak akan menyaman Tunku Abdul Aziz kerana tidak berminat untuk ‘membuang masa dengan orang yang membuat dakwaan itu kerana sudah hilang hormat, kepercayaan dan kredibiliti’ terhadapnya.

“Berapa banyak penipuan atau berapa kali sekalipun tindakan menghina saya, terutamanya oleh Lim Kit Siang, tidak akan menyumbang ke arah kebaikan perjuangan mereka,” kata Tunku Abdul Aziz hari ini.

Bercakap mengenai pendedahan Mahathir, Tunku Abdul Aziz berkata dengan kenyataan itu, membuktikan sememangnya telah berlaku satu pakatan rahsia.

“Walaupun Lim tidak meminta jawatan PM sekiranya PH menang Putrajaya, dia tetap telah meminta, mengikut apa yang dikatakan oleh Mahathir, untuk jawatan DPM,” kata Tunku Abdul Aziz.

Apabila ditanya adakah pendedahan ini bercanggah dengan pakatan yang cuba dijalinkan Mahathir kini, Tunku Abdul Aziz berpendapat pengerusi Pribumi itu berkemungkinan sedang meragui tindakannya membuat pendedahan tersebut.

Bercakap lebih lanjut mengenai pakatan rahsia yang didakwanya wujud, Tunku Abdul Aziz berkata, “(Dia – Mahathir) telah membongkarkan rahsia itu. Semuanya sekarang sudah hancur.”

Aktivis sosial itu mendakwa bahawa pada mulanya, pakatan rahsia itu dibuat bertujuan untuk memperdaya pengundi Melayu.

“Mereka sedar jika nama Lim atau nama mana-mana calon bukan Melayu disebut sebagai timbalan perdana menteri, orang Melayu tidak akan menyokongnya. Jadi ia terpaksa dirahsiakan.

“Tetapi sekarang, kebenarannya ialah memang wujud pakatan rahsia,” katanya lagi.

Berhubung penafian Lim tentang kewujudan pakatan rahsia tersebut, Tunku Abdul Aziz mendakwa ia seolah berkata Mahathir seorang penipu.

“Apa yang boleh disimpulkan dari semua ini?” tanya Tunku Abdul Aziz.

“Pakatan Harapan tidak sepakat. Kerajaan jenis apakah yang akan mereka bentuk jika mereka sentiasa tidak bersetuju sesama sendiri? Ini adalah petanda buruk bagi negara jika mereka berkuasa,” katanya.

Sementara itu, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menafikan pendedahan Mahathir dan berkata DAP tidak pernah meminta diberi jawatan timbalan perdana menteri.

“Kami tidak pernah membuat permintaan sedemikian dan kedudukan kami masih sama iaitu untuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri,” katanya dipetik The Star Online.

Sebelum ini, Tunku Abdul Aziz juga telah mencabar Mukhriz dan Lim untuk membuat pengakuan bersumpah (SD) menafikan mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

SHARE
Farah Harith has been in the media industry since 2008. Her field of work has been predominantly centred on politics and human interest. She joined the industry to have a better grasp on the issues plaguing the masses.