Geramm kesal sikap Kit Siang terhadap wartawan TV3

 |Feb 8, 2017
Paparan skrin dari videio KiniTV.
Paparan skrin dari videio KiniTV.

Gerakan Media Marah (Geramm) menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai hak untuk bertanya dan menjalankan tugas tanpa diganggu.

Di dalam satu kenyataan, Geramm merujuk kepada insiden di sidang media Zaid Ibrahim semalam di mana penasihat DAP Lim Kit Siang dilihat hilang sabar dengan pertanyaan dikemukan seorang wartawan TV3.

“Merujuk rakaman video KiniTV, Lim telah hilang sabar apabila ditanya samaada beliau akan mengambil ‘nada berbeza’ dalam isu skandal BMF dan forex sekiranya tidak menjalankan kerjasama politik dengan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Geramm.

Berdasarkan video sidang media tersebut kelihatan Lim tidak memberi kesempatan kepada wartawan berkenaan untuk mempertahankan diri dan ini diikuti sorakan dari penyokong DAP dan beberapa hadirin di sidang media itu.

“Sebagai ahli politik veteran, Lim seharusnya memberi contoh yang baik dengan tidak bersikap kasar terhadap petugas media yang hanya menjalankan tugas mereka.

“Apatah lagi beliau terkenal sebagai ahli politik yang ‘rajin menulis’ – jika ada apa-apa perkara yang perlu dijelaskan,” kata Geramm lagi.

Di dalam perkembangan berkaitan, Geramm berkata mereka menghormati hak ahli politik menuntut keadilan dari pihak media melalui proses undang-undang.

Ini berikutan laporan di mana Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan akan mengambil tindakan saman terhadap akhbar New Straits Times dan Berita Harian.

“Pada masa yang sama, Geramm turut ingin mengingatkan agar tidak bersikap prejudis terhadap semua wartawan dari media yang berkenaan.

“Selain itu, pihak sidang pengarang syarikat penerbitan sendiri haruslah mematuhi etika kewartawanan dan melaporkan dengan tepat, telus dan jelas agar kredibiliti mereka tidak terus terhakis dalam era pembaca yang lebih bijak mencari maklumat ini.

“Geramm sekali-kali tidak berpihak kepada mana-mana parti politik tetapi berusaha bersama mereka yang giat mahu menjadikan kewartawanan Malaysia boleh dibanggakan demi kebaikan rakyat dan negara.”

Untuk melihat video sidang media tersebut, sila klik di sini.

SHARE