Gempak DOJ

Aug 29, 2016
Apa jadi kepada kes DOJ - 1MDB?
Apa jadi kepada kes DOJ – 1MDB?

Bila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat  bikin “gempak” satu dunia dengan saman sivilnya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebulan dua lalu, ada pihak yang “tumpang semangkuk”.

Mana sahihnya laporan media asing yang tidak kurang juga laporan daripada media kita sendiri yang berhaluan kiri mendakwa pada Ogos 22 lalu DOJ akan memanggil  beberapa individu yang kononnya dikaitkan dengan penggubahan wang haram.

Mereka yang dipanggil dikatakan harus membela diri dan mencabar tuntutan DOJ yang dikaitkan dengan mereka.

Dah seminggu berlalu, di manakah ‘trial abad ini’ yang diperkatakan itu?

Isu 1MDB menyebabkan ada kalangan kita menjadi tidak keruan.

Bila DOJ baling batu sembunyi tangan, pihak tertentu terutama yang tidak sehaluan dengan kerajaan mulalah menangguk di air keruh.

Media  asing dan negara tertentu dengan senang-senang menghentam kita sesuka hati.

Tetapi kita buat tak tahu, selamba dan enggan menangkisnya.

Kalau kena negara lain, rakyat mereka kalau tidak pun bermatian-matian, akan mencuba sekurang-kurangnya membangkitkan sesuatu kepada kedutaan negara terbabit mengapa peliknya ‘saman DOJ’ seumpama itu.

Bagaimana pula dengan dakwaan DOJ atau pihak-pihak di luar sana bahawa ada aset-aset yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan strategik negara itu atau yang dibabitkan dengan beberapa individu terlibat,  telah dibekukan?

Juga, gelagat media-media asing tertentu yang  begitu ghairah mempergunakan apa sahaja sumber  termasuklah kononnya “reliable sources”  atau “sumber-sumber yang boleh dipercayai” untuk “mencipta” laporan berita.

Hairan juga apabila media yang dikatakan sehebat The Wall Street Journal  (WSJ) dan Telegraph tidak pula menggunakan sumber daripada DOJ sendiri, sebaliknya berani meletakkan sebagai “sumber” sahaja.

Adakah DOJ sendiri tidak yakin untuk mengeluarkan maklumat kepada media-media berkenaan untuk laporan itu di-“spin” (diputarbelit)?

Menyorot beberapa laporan berkaitan isu DOJ lwn 1MDB ini, didapati beberapa artikel yang disiarkan terutama yang menggunakan sumber,  telah dipadamkan selang tidak beberapa lama kemudian.

Sebelum ini dipercayai ‘keyboard warriors’ yang rata-ratanya dari kalangan segelintir individu dari dalam negara ini dikatakan bertindak memviralkan “artikel” itu terlebih dahulu.

Apa sebenarnya motif mereka?

Jika benar-benar yakin dengan kes saman sivil DOJ  ini, mengapa tidak  teguh mempertahankannya sahaja?

Baru-baru ini, Mingguan Malaysia berpeluang bertemu peguam Australia, Quintin Rozario; bekas Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan (Januari 1997-Disember 2006), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan peguam Noorhajran Mohd. Noor yang turut menjadi moderator bagi perbincangan meja bulat bersama media arus perdana berhubung 1MDB.

Mereka melahirkan kemusykilan terhadap tindak-tanduk DOJ yang dianggap terang-terangan ‘membuli’ Malaysia.

Rozario mempersoalkan bagaimana mungkin tindakan undang-undang boleh disabitkan ke atas 1MDB, walhal DOJ langsung tidak menyiasatnya secara langsung.

Kalau benar-benar DOJ serius dan tidak sekadar saman suka-suka, sepatutnya Peguam Negara terbabit, Loretta Lynch telah lama menghantar pegawainya ke Malaysia bagi tujuan penyiasatan?

Adakah nampak kelibat mereka di sini?

DOJ telah bikin “gempak” satu dunia dengan saman sivilnya terhadap 1MDB.
DOJ telah bikin “gempak” satu dunia dengan saman sivilnya terhadap 1MDB.

“Tentulah pelik bukan apabila pihak yang dituduh, 1MDB sendiri mengaku tidak ada wang hilang, namun DOJ pula yang beria-ia berlagak kononnya seperti profesor serba tahu mengeluarkan dakwaan itu ini kononnya ada berbilion hilang.

“Lagi pelik lagi apabila tidak ada apa-apa siasatan  lansung dilakukan,” kata Rozario.

Jelas Rozario, tindakan saman sivil yang dikenakan ke atas syarikat pelaburan negara itu juga boleh disifatkan satu perbuatan buli terhadap negara ini selain cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia sewenang-wenangnya.

Bahkan, kata beliau lagi, segala dakwaan yang dibangkitkan tidak disertakan dengan bukti kukuh sekali gus dianggap sebagai fitnah dan mempunyai agenda tersembunyi.

“Mana mungkin tindakan undang-undang boleh disabitkan ke atas 1MDB kerana mereka sendiri tidak hadir  ke negara ini untuk menyoal siasat 1MDB.

Kenyataan terbuka mengenai ada individu daripada Malaysia yang melakukan pengubahan wang haram ke Amerika Syarikat adalah keterlaluan dan melanggar keadilan asasi,” kata beliau.

Beliau mempersoalkan sekiranya DOJ serius untuk memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan, kepada siapa pula aset itu akan dipulangkan.

“Siapa ‘rakyat Malaysia’ yang DOJ maksudkan?”

Tegas Rozario: “Mereka hendak pulangkan kepada siapa apabila mereka tidak lagi mempercayai kerajaan negara ini? Rakyat Malaysia perlu bersatu dan menghentikan inisiatif DOJ ini untuk mengelirukan rakyat negara ini.”

DOJ sendiri, menurut laporan akhbar-akhbar di Amerika Syarikat, diulit pelbagai kepincangan.

Ini termasuklah isu rasuah yang terpalit pada Lynch yang sedang berdepan dengan petisyen oleh American Center for Law and Justice (ACLJ) bagi menuntut beliau meletak jawatan.

Lynch dikatakan terpalit dengan skandal rasuah membabitkan bekas Presiden negara itu, Bill Clinton dalam usaha menyelamatkan isterinya, Hillary.

Dan sehingga kini lebih 100,000 rakyat Amerika Syarikat telah menandatangani petisyen tersebut sejak dilancarkan ACLJ awal Julai lalu.

Dalam pada itu, Tunku Aziz menyifatkan tindakan DOJ tersebut adalah suatu agenda terancang negara tertentu yang mencemburui keharmonian negara ini yang mengamalkan dasar kesederhanaan sebagai sebuah negara Islam.

Kata beliau, Malaysia barangkali mudah menjadi sasaran kerana majoriti rakyatnya beragama Islam yang berupaya bertoleransi dengan masyarakat pelbagai kaum.

“Kita perlu berhati-hati dengan tindakan campur tangan asing. Kita perlu faham apa yang sebenarnya berlaku. Minda rakyat Malaysia terutama dengan mengambil hikmah Hari Kebangsaan ke-59 ini perlu berubah. Jangan hanya mempercayai bulat-bulat apa yang dilaporkan oleh media asing,” katanya.

Sehingga hari ini, bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang masing-masing berjawatan pengerusi dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) – yang ditubuhkan semata-mata untuk menurunkan Najib Razak tanpa bersandarkan lunas demokrasi –   hanya menggunakan isu 1MDB sebagai umpan untuk menabur kebencian rakyat terhadap kerajaan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Jika tiada niat jahat, apa lagi motif DOJ?

Kita jangan alpa terhadap kemungkinan ancaman campur tangan asing.

Ini lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-59 Rabu depan (Ogos 31) yang memerlukan rakyat negara ini disematkan semangat patriotik yang tinggi.

Berwaspadalah terhadap pengkhianat dan petualang negara yang cuba memperjudikan masa depan negara ini.

Kuasa-kuasa asing akan mencari sebab untuk melakukan tekanan terhadap kerajaan sedia ada.

Apa yang berlaku terhadap Saddam Hussein dan Iraq mesti menjadi tauladan.

Senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dijadikan sebab mengapa Amerika menakluk Iraq pada tahun 90-an ternyata tidak wujud.

Negara itu diserang dan dimusnahkan.

Sistem demokrasi di Iraq dialu-alukan tetapi sehingga sekarang negara itu berpecah belah dengan rakyatnya yang berlainan mazhab berbunuhan sesama sendiri.

Kerajaan Melayu Melaka dulu gah sampai ke seluruh pelosok dunia.

Siapa dapat bayangkan kerajaan hebat itu akan jatuh?

Lagipun berapa banyaklah orang Portugis yang serang Melaka waktu itu.

Entah berapa kapal saja.

Tapi kerana orang Melaka berpecah belah, benteng pertahanan orang Melaka punah.

Dengan mudah sahaja Melaka hancur.

Kita semua tahu siapa dajalnya masa itu.

Si Kitullah yang buat kacau, buat fitnah dan timbulkan kebencian dan syak wasangka.

Akhirnya pemimpin Melaka berbalah. Melaka jadi lemah.

Sebab itu perlu diingatkan, jika rakyat Malaysia tidak berwaspada terhadap pengkhianat negara, kerajaan sekuat mana pun tidak kekal selama-lamanya.

DOJ hanya bikin gempak, baling batu sembunyi tangan terhadap Malaysia.

Pada Ogos bulan kemerdekaan ada juga `pengkhianat’ dalam kalangan rakyat negara ini yang kelihatan bersungguh-sungguh membawa masuk anasir jahat demi kepentingan politik peribadi.

Source: Utusan Malaysia

SHARE