Gelaran Miss Transsexual Australia 2017 milik anak Malaysia

 |Jan 30, 2017
Gambar kredit Facebook Laeticia Phylliscia Raveena.
Gambar kredit Facebook Laeticia Phylliscia Raveena.

Laeticia Phylliscia Raveena, yang berasal dari Malaysia baru-baru ini memenangi pertandingan ratu cantik transeksual di Melbourne, Australia.

Dinobatkan gelaran Miss Transsexual Australia 2017, Laeticia yang kini menetap di Thailand berkongsi perasaannya di laman Facebook miliknya.

Dia berkata kemenangan tersebut merupakan permulaan yang indah bagi 2017.

Laeticia juga mengucapkan terima kasih kepada komuniti transeksual di Malaysia di atas sokongan yang mereka berikan walaupun dari jauh.

“Saya berjanji akan lakukan yang terbaik dalam menjunjung gelaran Miss Transsexual Australia 2017 dan akan lakukan sebanyak mungkin untuk memperjelaskan isu berkaitan komuniti transeksual di sini, di Malaysia dan di seluruh dunia,” kata Laeticia.

Menurut laman Facebooknya, Laeticia merupakan chef pastri dan penghias kek di Maison De Poupées Artisan Cakes dan pernah belajar di akademi memasak Le Cordon Bleu Dusit Culinary School.

Terdahulu, Laeticia pernah terlibat sebagai penari kabaret di Alcazar Cabaret Show di Pattaya, Thailand.

Di samping memenangi gelaran Miss Transsexual Australia, Laeticia juga merupakan pemenang bagi kategori pakaian Best in Rio.

Hadiah dibawa pulang termasuk baucar USD15,000 dari Kamol Cosmetic Hospital.

Semalam, aktivis Nisha Ayub turut berkongsi berita kemenangan Laeticia di laman Facebooknya.