Fasal 88A bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Nazri

 |Aug 8, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Kerajaan disifatkan mengambil langkah berhati-hati dengan menarik semula cadangan pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang menghalang penukaran agama anak secara sebelah pihak kerana bimbang kegagalan mendapatkan undi dua pertiga akan membawa undi tidak percaya.

Bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak boleh meminda undang-undang berkenaan penukaran status agama anak kerana mereka perlu meminda Perlembangaan Persekutuan.

Menurutnya, bagi meminda Perlembangaan Persekutuan tersebut, kerajaan memerlukan dua pertiga undi daripada Ahli Parlimen.

“Apabila membuat sebarang rang undang-undang dan jika ia tidak dilulus, ini boleh membawa kepada undi tidak percaya dan kita sangat berhati-hati dengan perkara tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Merdeka: Unity & Diversity di Balai Seni Negara di sini.

Bagi mengelak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2016 (Akta 164) yang baharu dengan mengugurkan Fasal 88A di Dewan Rakyat.

Fasal 88A menyebut mengenai penukaran status agama anak kepada agama Islam hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, setakat ini sebanyak empat kes membabitkan penukaran status agama anak dilaporkan.

Menurutnya, Perlembangaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum pindaan berhubung penukaran status anak dibuat kerana kini hanya memerlukan persetujuan sebelah pihak sahaja.

Nazri ketika ditanya sama ada mahu bekerjasama dengan pembangkang bagi mendapatkan sokongan berhubung pindaan tersebut, beliau menjelaskan ia akan melambatkan proses kerana hanya dipenuhi dengan sesi perbincangan sehingga terlepas sesi pembacaan di dalam Dewan Rakyat.

“Kami tidak tahu apa yang mereka mahu dan ini agak sukar serta tidak pasti dengan sokongan mereka.

“Boleh jadi kita duduk dengan pembangkang dan berjanji akan menyokong tetapi pada hari undi, jika kita kalah dan itu akan membawa kepada undi tidak percaya,” kata Nazri, yang menambah bahawa kerajaan dengan majoriti yang besar boleh membuat pindaan pada bila-bila masa.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke menyifatkan kerajaan harus berbincang dengan ahli parlimen pembangkang bagi mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembangaan Persekutuan sebelum membuat tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang bersedia membincangkan sebarang isu yang berkaitan dengan kebaikan rakyat.

“Kerajaan tidak pernah berbincang dengan kami dan saya percaya Pakatan Harapan juga terbuka dalam sebarang konteks yang membabitkan rakyat dan kepentingan awam,” katanya.

Anthony berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan Nazri berhubung sokongan daripada pembangkang dalam mendapatkan majoriti dua pertiga bagi meminda Perlembangaan Persekutuan.

Menurutnya, ini adalah kebimbangan tidak berasas dan kerajaan tidak pernah berbincang dengan pembangkang berhubung perkara berkenaan. – MO

SHARE