Ekonomi Malaysia kekal teguh, dinamik walaupun tanpa TPPA

 |Jan 25, 2017
Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.
Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.

Ekonomi Malaysia masih mampu untuk terus kekal teguh, dinamik dan penuh dengan potensi serta peluang bersama rakan dagang sedia ada meskipun tanpa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), kata Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian TPP baru-baru ini, Malaysia bersama 10 negara anggota lain rundingan itu akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hala tuju dan langkah selanjutnya.

“Walau apa pun kesudahan mesyuarat itu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kita tidak perlu khuatir mengenai keadaan ekonomi Malaysia sekiranya TPP tidak menjadi kenyataan,” katanya dalam catatan terbaharu ‘TPPA dan Ekonomi Malaysia’ di laman blognya, najibrazak.com semalam.

Jelas Perdana Menteri, setakat ini Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang kukuh bersama negara-negara seperti China dan Jepun.

Malah, nilai dagangan antara Malaysia dan China pada tahun ini dijangka mencecah US$100 bilion, katanya.

“Kita juga adalah ahli Perjanjian Perdagangan Bebas Serantau ASEAN serta mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala bersama negara-negara seperti India, New Zealand dan Australia,” kata Najib.

Menurut beliau, pada masa yang sama, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga sedang mengkaji usaha untuk mewujudkan FTA dua hala bersama beberapa negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berkenaan.

Selain itu, Malaysia akan meneruskan usaha memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan negara China dan India dengan pasaran pengguna yang jauh lebih besar berbanding TPPA.

“Insya-ALLAH, saya yakin melalui langkah-langkah ini dan juga usaha-usaha lain yang dijalankan, ekonomi kita terutamanya yang berkaitan perdagangan dan pelaburan asing akan terus mampan dan berdaya saing.

“Malaysia kekal terbuka untuk perniagaan,” katanya.

Selain itu, ketika mengulas pelantikan Donald Trump sebagai Presiden ke-45 AS, Perdana Menteri menegaskan, sekiranya berlaku sebarang perubahan kuasa di tampuk pemerintahan mana-mana negara sekalipun, Kerajaan Malaysia akan memantau dengan teliti polisi dan dasar hubungan antarabangsanya.

“Kita juga akan mengambil langkah proaktif dalam menyesuaikan negara kita berdasarkan sebarang perubahan yang berlaku selain meningkatkan usaha kita untuk memastikan hubungan dua hala kekal kukuh,” katanya. – Bernama

SHARE