E-hailing: ‘Pindaan boleh dikuatkuasakan atas semangat undang-undang’

 |Aug 1, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan semua pindaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 boleh dilaksanakan walaupun belum mendapat kelulusan di Dewan Negara.

Menurutnya, pindaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada Isnin lalu sudah cukup untuk dilaksanakan mengikut semangat undang-undang selepas dipersetujui oleh ahli Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, penguatkuasaan hanya terhad kepada perkara yang dipersetujui oleh semua.

“Kita akan meneruskan proses undang-undang dan membawa perkara ke Dewan Negara untuk diluluskan sebelum diwartakan,” katanya mengenai perkhidmatan e-hailing.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Festival Kesenian Blossom Malaysia 2017 yang akan bermula hari in hingga 31 Ogos ini di Wisma MCA, Jalan Ampang.

Tiong Lai berkata, perkhidmatan e-hailing ini dapat memberi platform yang sama antara teksi, Uber dan Grab untuk beroperasi.

“Pada masa yang sama, ini juga akan mengukuhkan ekonomi digital negara kerana industri teksi turut sama boleh menggunakan perkhidmatan digital untuk beroperasi,” katanya.

Beliau juga berharap pindaan akta tersebut dapat diwartakan dan dilaksanakan pada tahun ini.

Tiong Lai berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd mengenai perkhidmatan e-hailing tidak boleh menuntut perkhidmatan mereka sah kerana pindaan yang mengawal selia perkhidmatan itu belum diluluskan di Dewan Negara.

Dengan kelulusan pindaan dua akta ini, pemandu e-hailing di Semenanjung kini tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala di Sabah dan Sarawak di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Kedua-dua RUU itu turut menetapkan segala syarat-syarat yang dikenakan kepada pemandu teksi, kini akan turut terpakai kepada pemandu kenderaan ‘e-hailing’ termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu. – MO