Dua wanita didakwa esok berhubung kes bunuh Kim Chol

 |Feb 28, 2017
Gambar fail Wikimedia.

Dua suspek wanita yang ditahan berhubung siasatan terhadap kes pembunuhan seorang lelaki warga Korea Utara pada 13 Feb lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok.

Bernama melaporkan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengesahkan kedua-dua wanita tersebut akan dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan esok.

Kedua mereka adalah Doan Thi Huong, pemegang passport Vietnam dan Siti Aishah, pemegang pasport Indonesia.

Doan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) sehari selepas kejadian manakala Siti Aishah ditahan di sebuah hotel di Ampang pada 16 Feb.

Sementara itu, Mohamed Apandi turut mengesahkan perkara ini kepada Malaysia Outlook apabila dihubungi menerusi WhatsApp.

Ditanya lanjut mengenai tuduhan tersebut, Mohamed Apandi berkata ianya berkaitan dengan pembunuhan individu bernama Kim Chol.

Media asing sebelum ini mengenal pasti mangsa sebagai Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Walaubagaimanapun, pihak polis Malaysia berkata masih tiada ahli keluarga mangsa yang datang untuk membuat pengecaman mayat atau memberikan sampel DNA bagi tujuan pengesahan identiti.

Semasa kejadian, mangsa, pemegang pasport tertera nama Kim Chol berada di Klia2 untuk penerbangan ke Macau.

Dia didatangi dua wanita yang didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun, dan kemudian meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.