Dua mangsa kemalangan basikal dijangka keluar wad hari ini

 |Feb 20, 2017
Hospital Sultanah Aminah. - Gambar fail kredit Wikipedia.
Hospital Sultanah Aminah. – Gambar fail kredit Wikipedia.

Dua daripada lapan remaja yang cedera ketika berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini dua hari lepas dijangka dibenarkan keluar dari wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu petang ini.

Pengarah HSA, Dr Aman Rabu berkata mereka ialah Muhamad Farhan Che Mat, 16, dan Muhammad Zulfadli Yusri, 19, yang kedua-duanya patah kaki kanan.

“Mereka dibenarkan pulang dengan kebenaran doktor. Bagaimanapun pihak hospital akan terus memberi rawatan susulan kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff yang menyampaikan sumbangan kepada keluarga remaja yang maut dalam kemalangan terbabit dan melawat mangsa yang cedera di Wad Barat 2.

Katanya selain Muhamad Farhan dan Muhammad Zulfadli, mereka yang masih berada di wad ialah Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, Abdul Samad Abdul Kadir, 16, Muhammad Arif Salman, 15, dan Muhammad Arasshat Abdullah, 14.

Dr Aman berkata dua mangsa yang masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13.

“Daripada keseluruhan enam mangsa yang ditempatkan di wad, empat daripadanya telah menjalani pembedahan manakala dua lagi akan dibedah dalam masa terdekat. Dua yang kritikal di ICU pula masih dalam rawatan doktor,” katanya.

Kemalangan menimpa para remaja terbabit berlaku pada pukul 3 pagi yang menyebabkan lapan daripada mereka maut manakala lapan lagi cedera setelah basikal mereka dilapor dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh dilapor sebagai berkata mereka merupakan antara 20 hingga 30 remaja yang dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitarnya sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya pemandu tersebut yang dari arah Taman Pelangi dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan. – Bernama