Dua lelaki dicari bantu siasatan kes samun remaja

 |Jul 11, 2017
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Masjid Bangi, Kajang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an dikenal pasti seorang saksi yang tampil memberi maklumat.
Menurutnya, seorang suspek ketinggian lebih kurang 170 sentimeter, berkulit gelap dan rambut berfesyen flat top, manakala seorang lagi berkulit gelap dan rambut bertocang.
“Pihak Polis IPD Kajang memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662, Bilik Gerakan Kajang 03-87336580 atau Balai Polis yang berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi itu, Syazana Amirah ditemui ibunya Siti Rafiah Mansor, 48, dalam keadaan terbaring di atas katil dengan keadaan berlumuran darah serta kecederaan di kepala dan dagu.
Pemeriksaan mendapati tengkorak mangsa di sebelah kiri dan kanan retak dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan tajam.
Dua unit telefon bimbit serta dompet milik mangsa dilaporkan hilang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MO
SHARE