‘Dr Mahathir mengepelai Pakatan Harapan’

Jan 22, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Berikut adalah kenyataan media dikeluarkan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Mohd Zuhdi Marzuki bertarikh 22 Januari, yang bertajuk Dr Mahathir mengepalai Pakatan Harapan (PH):

Seorang wartawan Utusan Malaysia telah menghubungi saya bertanya tentang kenyataan (bekas Perdana Menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia – PPBM) Mahathir dalam Malay Mail Online bertajuk “Dr M Says Does’nt Need PAS, Can Beat Islamist Party”.

Beliau bertanya; Apa pandangan Dr mengenai hal ini? Adakah Dr Mahathir sengaja membuat kenyataan begini untuk merendahkan PAS?

Saya memberitahu beliau; Pada pandangan saya, memang Dr Mahathir sengaja mengeluarkan kenyataan ini, tetapi bukan kerana ia memandang rendah terhadap PAS, sebaliknya dia bimbang dengan pengaruh PAS.

Kenyataan seperti ini adalah sebahagian dari strategi politik beliau.

Dr Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua Perdana Menteri yang berada di atasnya daripada Tunku Abdul Rahman sehingga Perdana Menteri sekarang.

Kalaupun boleh dikecualikan ialah di zaman Tun Abdul Razak.

Dengan sifat diktator politik inilah Dr Mahathir mencantas semua pimpinan Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang menggugat kedudukannya, dari Tengku Razaleigh (Hamzah) sehingga Anwar Ibrahim.
Malah beliau juga pimpinan politik yang berani menyanggah Raja-raja Melayu.

Sekarang beliau berada bersama blok pembangkang, dan dengan sifat diktator politik ini, beliau mahu kesemua parti dan pimpinan pembangkang untuk tunduk kepada gerakan politiknya.

Sekarang beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai ketua kepada PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), PKR, DAP dan PAN (Parti Amanah Negara).

Anwar Ibrahim sudah berjaya beliau tenggelamkan. Lim Kit Siang telah berjaya beliau jinakkan. Mohamad Sabu telah berjaya beliau mandulkan. Mahfuz Omar telah berjaya beliau perbudakkan.

Dengan pengertian lain, beliaulah sebenarnya ketua blok PH untuk melawan BN.

Yang boleh menggugat ‘dictatorship’ beliau dalam blok pembangkang ialah PAS, kerana PAS adalah sebuah parti politik yang paling besar selepas Umno.

Sebab itu, Dr Mahathir sangat tidak mengalu-alukan PAS, meskipun Muhyiddin Yassin amat mengharapkan hubungan itu.

Pendirian PAS pula konsisten dalam isu mendaulatkan Syariah Islam dan mempertahankan hak orang Melayu, yang begitu bertentangan dengan strategi Dr Mahathir.
Faktor ini juga menjadi faktor tambahan mengapa Dr Mahathir tidak mengalu-alukan hubungan dengan PAS.

SHARE