Douglas Lim elemen komedi Soulmate Hingga Jannah

 |Feb 16, 2017
Gambar kredit Fita Studios Sdn Bhd.
Gambar kredit Fita Studios Sdn Bhd.

Jika sebelum ini nama Prof A. Razak Mohaideen lebih sinonim dengan filem komedi yang berlatarbelakangkan Pulau Pinang dan dialek orang utara, kali ini beliau tampil dengan sedikit kelainan.

Walaupun masih mengekalkan elemen komedi, pengarah tersebut mengangkat genre percintaan di dalam filem Soulmate Hingga Jannah yang menemui penonton di pawagam mulai hari ini.

Watak utama filem ini pula menyaksikan penyatuan Malaysia dan Singapura, dengan menampilkan pelakon Erra Fazira dan penyanyi Taufik Batisah.

Menambah kepada keunikan filem ini ialah kehadiran Douglas Lim yang memegang watak Jackie.

Douglas yang sebelum ini terkenal dengan watak Steven di dalam sitkom Kopitiam, juga merupakan seorang stand-up comedian (pelawak pentas).

Di samping itu, Douglas juga mempunyai bakat sebagai penyanyi dan komposer, dan dahulunya merupakan salah seorang penyanyi di dalam kombinasi duet Indecisive, bersama Chelsia Ng.

Tidak asing dengan dunia perfileman, Douglas terdahulu memberitahu Astro Gempak bahawa berlakon di dalam Bahasa Melayu merupakan satu cabaran baginya di dalam menjayakan wataknya untuk filem Soulmate Hingga Jannah.

Katanya lagi, ini merupakan penampilan pertama yang memerlukan beliau menuturkan banyak dialog Bahasa Melayu dalam sebuah filem.

“Akhirnya, cabaran tersebut dapat saya tempuhi dengan jayanya,” katanya kepada Astro Gempak.

Malaysia Outlook hari ini mendapatkan Douglas untuk bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya di dalam Soulmate Hingga Jannah.

Mengenai watak Jackie dan mengapa beliau menerima tawaran untuk berlakon filem ini, Douglas berkata antara yang menarik minatnya adalah kerana penggambaran filem Soulmate Hingga Jannah banyak dibuat di luar negara.

“Saya diberitahu bahawa watak saya adalah sebagai comic relief dan separuh dari penggambaran filem ini akan diadakan di luar negara.

“Saya jarang keluar,” katanya.

Bertanya mengenai pengalaman berlakon di bawah arahan Prof A Razak, Douglas berkata pengarah tersebut membenarkan pelakonnya untuk bereksperimen.

“Penggambaran filem ini sangat organik kerana ada yang ditambah, ditukar dan diolah semula. Prof benarkan kami untuk bereksperimen. Dan dia juga bersifat pendidik,” katanya lagi.

Apabila diminta mentafsirkan watak Jackie yang dibawanya menggunakan hanya satu perkataan, Douglas berkata, “Lawak.”

Douglas, yang sebelum ini pernah berlakon filem Hati Malaya serta Los & Faun, berkata beliau tidak pasti samada pembabitannya di dalam Soulmate Hingga Jannah akan menyaksikan beliau akan lebih banyak terlibat di dalam filem Melayu di masa hadapan.

“Saya bersifat terbuka. Kita tengok dahulu bagaimana sambutan Soulmate,” katanya.

Mengenai projeknya yang lain, Douglas berkata beliau kini sedang bersiap sedia untuk menyertai Festival Komedi di Melbourne dan Sydney, Australia pada bulan Mac dan April ini.

“Ini adalah pertama kali saya akan membuat persembahan stand-up di luar negara selama sebulan. Saya agak teruja,” tambahnya.

Filem Soulmate Hingga Jannah juga menampilkan pelakon Raja Ilya dan Reen Rahim dan menjalani penggambaran di Malaysia serta Chiang Mai, Thailand.

Ia berkisar tentang gadis kampung bernama Rokiah dan majikannya yang berlagak sombong, Azmeer.

SHARE
Farah Harith has been in the media industry since 2008. Her field of work has been predominantly centred on politics and human interest. She joined the industry to have a better grasp on the issues plaguing the masses.