Didakwa rujuk dengan bekas suami, Rita Rudaini tuntut blog hiburan mohon maaf

 |Jul 12, 2017

KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini tidak pernah bebas daripada kontroversi dan terbaru membabitkan sebuah blog hiburan menyiarkan berita kononnya dia dan bekas suami pertamanya, Akbar Sahari sudah rujuk kembali.

Rita dalam kenyataan menerusi Instagram mendesak blogger terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya dan keluarga dalam masa 24 jam.

Menurut Rita, jika permintaan itu tidak ditunaikan, dia tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman.

“Bukan susah nak cari siapa di sebalik blog ini, saya tak suka cakap banyak dan tak suka maki hamun orang tapi saya wanita yang berani.

“Dalam masa 24 jam, mohon maaf secara terbuka dan bertulis sekali kepada saya dan keluarga,” tuisnya dalam statusnya semalam.

Ahad lalu, portal berkenaan menyiarkan artikel dengan judul, ‘Korang Kenal Tak Suami Pertama Rita Rudaini? Iaitu Pengulas Sukan TV3! Dia Kembali! Ternyata! Cinta Pertama Itu Yang Terbaik! Tahniah!’ serta memaparkan wajah Rita.

Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan Akbar pada 1999 sebelum bercerai pada 2001.

Pelakon Mami Jarum Junior ini kemudian berkahwin dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008, dikurniakan dua anak lelaki dan berpisah pada 2013.

Ahbar yang juga pengulas sukan turut menafikan dakwaan laporan blog hiburan tersebut dan berkata artikel itu berunsur fitnah dan pihak terbabit tidak mendapatkan sebarang kenyataan daripadanya terlebih dahulu.

Sementara itu, portal hiburan yang membuat dakwaan terhadap Rita dan Akhbar telah membuat permohonan maaf menerusi portal mereka semalam.

Dalam laporan tersebut, mereka mendakwa memperolehi berita berkenaan melalui carian google dan blog-blog yang berkaitan.

“Jadi kesilapan kami adalah terus menyebarkan tanpa membuat usul periksa kesahihan berita berkenaan.

“Kami dari blogger Pisang Cheese merendah diri memohon maaf kepada Rita Rudaini dan sekeluarga atas berita berkenaan yang kami dapati keterlaluan sehingga mengancam peribadi Rita sekeluarga.

“Sekali lagi pihak kami memohon maaf atas penulisan yang menyinggung dan mengganggu emosi pihak Rita Rudaini sekeluarga,” tulisnya yang menggunakan nama Pisang Cheese Writer.

Susulan itu, semua artikel berkenaan telah dipadam.