Di mana Anita Sarawak?

Jan 9, 2017
Anita Sarawak dan suaminya Mahathir Abdullah. - Gambar fail
Anita Sarawak dan suaminya Mahathir Abdullah. – Gambar fail

Sudah bertahun-tahun dunia hiburan di Malaysia dan juga Singapura bertanyakan soalan ke mana menghilangnya diva terkenal Anita Sarawak.

Semenjak itu, laporan media mengenai beliau berkisar tentang persoalan di mana Anita berada.

Terbaru, Berita Harian pada hujung minggu lalu melaporkan khabar angin bahawa penyanyi tersebut kembali menetap di Singapura namun tidak berjaya mendapat sebarang kepastian.

Berita Harian turut menghubungi penulis lirik Yusnor Ef yang memberitahu beliau mendengar Anita sudah pulang ke Singapura.

“Saya cuba mencari, tetapi tidak menemuinya. Pernah saya bertanya kepada beberapa teman baiknya, tetapi mereka tidak mempunyai jawapannya,” Yusnor dipetik sebagai berkata.

Maka sekali lagi media sosial serta forum hiburan mula membincangkan ‘kehilangan’ penyanyi yang pernah popular dengan lagu-lagu hit seperti Asmara, Bawalah Daku Pergi dan Bisikan Cinta ini.

Pada tahun 2015, saudara tiri Anita, Noor Kumalasari memberitahu Utusan Malaysia bahawa Anita telah menghubungi salah seorang saudara mereka pada 19 May 2015 dan beliau difahamkan Anita sihat.

Namun yang masih menjadi tanda tanya ialah mengapa Anita bertindak pulang ke Amerika Syarikat pada tahun 2011 secara tiba-tiba, dan sehingga kini ‘hilang’ menyepikan diri.

Pencarian nama ‘Anita Sarawak’ di Google tidak membuahkan hasil baru kerana kebanyakan hasil carian merupakan artikel lama ataupun laporan berita mengenai ‘kehilangan’ beliau dari dunia hiburan.

Carian yang dibuat menggunakan nama sebenarnya iaitu Ithnaini Mohamed Taib menjumpai beberapa rekod entri tentang seorang Ithnaini M Taib di Las Vegas, Nevada.

Berdasarkan carian, dilihat Anita masih lagi memegang hak milik kediamannya di Campana Drive di Las Vegas namun tidak pasti samada beliau masih lagi menetap di sana.

Terdapat juga sekeping gambar beliau bersama suami Mahathir Abdullah atau nama sebenarnya Martin Cox yang diambil pada tahun 2012.

Menurut laman Las Vegas Around The Clock, mereka berdua telah menghadiri satu majlis di Las Vegas Country Club pada 19 Januari 2012.

Tulisan di gambar tersebut melihat Anita dan suami dikenali sebagai ‘Ithnaini Taib dan Martin Cox’.

Walaupun Anita kelihatan tidak meninggalkan sebarang jejak di mana-mana laman media sosial, Mahathir atau Martin, kelihatan sedikit aktif.

Beliau yang juga berpengalaman sebagai penulis skrip mempunyai profail di salah satu laman yang menghubungkan para pekerja industri hiburan yang dipanggil Stage 32.

Martin juga mempunyai entri di satu laman pengiklanan kerja kosong www.indeed.com, di mana beliau menjelaskan bahawa beliau dan isteri pulang ke Amerika Syarikat kerana isterinya tidak sihat.

Yang pasti, persoalan di mana Anita Sarawak masih tidak mempunyai sebarang jawapan. Adakah beliau masih di Las Vegas atau sudah kembali ke Singapura? Apa pun, diharapkan penyanyi yang menjadi idola ramai itu berada di dalam keadaan sihat. Mungkin suatu hari nanti jika sudah bersedia, beliau akan muncul kembali sekaligus mengubat rindu di hati peminat dan juga teman-temannya.

SHARE