Dego masih degil?

 |Feb 14, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dego.
Gambar fail kredit Facebook Dego.

Perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride dikatakan masih lagi meneruskan operasi walaupun telah diarahkan supaya berhenti.

Bernama melaporkan berdasarkan tinjauan dibuat agensi berita kebangsaan itu, perkhidmatan tersebut masih boleh ditempah.

Seorang pemberita Bernama menempah Dego Ride dari Jalan Tun Razak ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan permintaannya dipenuhi seorang penunggang Dego.

“Saya belum terima sebarang maklum balas tentang perkara itu (penghentian operasi) daripada pengendali perkhidmatan ini. Jadi, saya meneruskannya seperti biasa,” kata penunggang itu, dipetik Bernama.

Terdahulu, perkhidmatan itu mengundang kontroversi kerana tidak mempunyai permit sah.

Menurut laporan Bernama semalam, Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata pihak kementerian tidak akan memberikan lesen untuk perkhidmatan itu beroperasi dan mengarahkan Dego Ride menghentikan operasi serta-merta atas faktor keselamatan.

Katanya lagi, tindakan akan diambil jika pihak Dego Ride meneruskan perkhidmatan mereka.

Liow memberitahu pemberita bahawa sehingga semalam, masih tiada permohonan dibuat oleh mana-mana pihak berkenaan perkhidmatan Dego Ride.

Sebelum ini, pengusaha Dego Ride dilaporkan berkata tiada peruntukan di dalam undang-undang yang menghalang mereka dari menawarkan perkhidmatan teksi motosikal itu.

Namun, Liow semalam menjelaskan bahawa terdapat undang-undang spesifik berhubung hal itu, antaranya Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan jika motosikal digunakan sebagai teksi, menurut laporan The Star Online.

Semakan di laman Facebook Dego Ride pula mendapati bahawa pada 24 Januari, mereka memuat naik status seperti berikut: “We have temporarily ceased the transportation of people on Dego while we seek endorsement from the authorities and regulators on restarting the service for our customers as soon as possible.
During this period our Partner Riders will be earning via convenience based logistics services.”

(Kami telah menghentikan buat sementara waktu perkhidmatan teksi melalui Dego, sementara kami mendapatkan pengesahan dari pihak berkuasa dan penguatkuasa mengenai penyambungan semula servis (teksi motosikal) untuk pelanggan kami. Pada masa ini, penunggang kami akan menjalankan perkhidmatan kemudahan servis logistik.)