‘Datuk’ tidak mengaku salah subahat bunuh Bill Kayong

Jan 4, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Ahli perniagaan Stephen Lee Chee Kiang hari ini mengaku tidak bersalah di atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan setiausaha PKR Bill Kayong di Mahkamah Tinggi Miri, lapor Bernama.

Terdahulu, Stephen yang juga mempunyai gelaran ‘Datuk’ didakwa di Mahkamah Majistret Miri namun kes dipindah ke Mahkamah Tinggi setelah permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak.

Stephen dituduh melakukan kesalahan tersebut bersama tiga lagi individu di persimpangan lampu isyarat berdekatan E-Mart Supermarket di Jalan Pintasan Kuala Baram tahun lepas.

Hakim Alwi Abdul Wahab menetapkan 9 Januari untuk sebut semula kes setelah salah seorang peguam Stephen dikatakan cuti sakit.

Stephen didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukum mati mandatori jika disabit kesalahan.

Kes akan dibicarakan sekali bersama tiga tertuduh yang lain; Chin Wui Ching, Lie Chang Look dan Mohamad Fitri Pauzi.

Di dalam kejadian yang berlaku pada 21 Jun, Bill, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah mati ditembak.