‘Datuk Seri’ ditahan maki hamun polis

 |Jul 12, 2017
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bergelar Datuk Seri ditahan polis selepas memaki hamun anggota polis di pejabat Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati selepas rakannya ditahan polis kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, lelaki yang berasal dari Cheras itu memperkenalkan diri sebagai Datuk Seri dan cuba menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Menurutnya, suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis menjalankan pemeriksaan ke atas rakannya itu telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota.
“Suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Polis. – MO
SHARE