Dato Terlajak Laris jadi hero filem ‘Badang’

Jan 9, 2017
Aliff Syukri Kamarzaman (kanan) bakal membintangi filem Badang arahan A. Razak Mohaideen. - Gambar kredit Instagram @aliffsyukriterlajaklaris
Aliff Syukri Kamarzaman (kanan) bakal membintangi filem Badang arahan A. Razak Mohaideen. – Gambar kredit Instagram @aliffsyukriterlajaklaris

Tidak asing beraksi di hadapan kamera, kini pengasas produk D’Herbs melebarkan sayapnya untuk mencuba berlakon filem pula.

Sebelum ini, Aliff Syukri Kamarzaman terkenal dengan penampilannya di dalam pelbagai jenis iklan bagi mempromosikan produknya sendiri.

Terbaru, Aliff Syukri yang terkenal dengan jolokan ‘Terlajak Laris’ telah pun menerima tawaran untuk berlakon di dalam filem pengarah A Razak Mohaideen.

Di laman Instagramnya baru-baru ini, Aliff Syukri meminta peminat mendoakan pembabitan beliau sebagai teraju utama di dalam filem Badang berjalan lancar.

Manakala di dalam laporan mStar Online, Aliff Syukri berkata pemilihannya sebagai pelakon utama bukan atas sebab beliau menaja kos penerbitan filem tersebut.

“Saya tidak menaja atau terlibat dalam sebarang urusan produksi sebaliknya dibayar untuk membintangi filem itu,” beliau dipetik berkata.

Antara barisan pelakon lain yang bakal membintangi Badang adalah Fasha Sandha, Fauzi Nawawi dan Fareez Fauzi.

mStar melaporkan penggambaran akan bermula pada 15 Januari ini.

Bercakap mengenai penampilannya di dalam Badang, Aliff Syukri berkata beliau tidak akan menunjukkan perangai ‘gedik’ seperti di dalam iklan produknya.

Beliau turut berjanji untuk memberikan yang terbaik kerana berkata bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini.

Pada Jumaat lepas, filem Badang telah dilancarkan di Intekma Resort Shah Alam di mana satu majlis doa selamat dan bacaan skrip diadakan.