Dari tuala, katil dan ais krim, kini Jamal usung keranda pula

 |Feb 14, 2017
Gambar kredit isuselangorkini.blogspot.my.
Gambar kredit isuselangorkini.blogspot.my.

Menggunakan gimik untuk membangkitkan beberapa isu di Selangor sudah menjadi sinonim dengan pengerusi Gabungan NGO Malaysia Jamal Md Yunos.

Jika sebelum ini kehadirannya di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dengan bertuala mandi dan membawa katil serta mengedar aiskrim, hari ini Jamal membawa 16 kereta jenazah pula.

Isu yang dibangkitkan, menurut Utusan Online, ialah dakwaan skandal penyelewengan dana peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Selangor.

Tidak cukup dengan van jenazah, Jamal serta kumpulan dari Gabungan Ngo Malaysia turut mengusung keranda.

Dengan memegang cangkul, Jamal dikatakan meminta Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menjelaskan dakwaan penyewelengan dana tersebut.

Gambar kredit kitaikini.com.
Gambar kredit kitaikini.com.

Menurut laporan The Star Online pula, Jamal mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan penyelaras Dun di Kepong, Wangsa Maju, Lembah Pantai, Jeram dan Gombak telah menyalahgunakan dana yang dikhaskan untuk Skim Mesra Usia Emas di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor.

Sedikit kekecohan juga dilaporkan berlaku apabila ada yang melaungkan perkataan ‘balik’ kepada Jamal dan kumpulannya.

Pihak polis meminta kedua-dua kumpulan bersurai dan Jamal serta kumpulannya beredar dari pagar SUK untuk bercakap dengan mereka yang hadir sebelum bersurai.

Gambar kredit kitaikini.com.
Gambar kredit kitaikini.com.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Noh Omar dilaporkan berkata Umno Selangor menolak surat perletakan jawatan Jamal.

Bernama melaporkan Noh sebagai berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira sumbangan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu untuk parti, terutamanya di dalam membantu BN memenangi pilihan raya kecil Sungai Besar tahun lalu.

Walaubagaimanapun, Noh berkata keputusan itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno.

Sebelum ini, Jamal menyerahkan surat perletakan jawatannya di dalam Umno kepada Noh, atas alasan tidak mahu Umno terpalit dengan tindakannya, berikutan beliau disiasat polis atas dakwaan saman berkumpulan.

Jamal juga berkata beliau rela berkorban dan melepaskan jawatannya kerana beliau sayangkan Umno.

Terdahulu, Jamal bersama kumpulannya bertindak ‘menyerbu’ beberapa premis judi di Selangor atas alasan ingin mendedahkan masalah premis judi haram yang masih berleluasa.

Susulan itu, beliau dan sembilan yang lain ditahan polis bagi membantu siasatan. Jamal juga dikenakan perintah reman selama empat hari.

Gambar kredit kitaikini.com.
Gambar kredit kitaikini.com.