Dari pemandu Grab ke kakitangan AirAsia

Jan 10, 2017
Tony Fernandes dan Hubert. - Gambar kredit Facebook Tony Fernandes.
Tony Fernandes dan Hubert. – Gambar kredit Facebook Tony Fernandes.

Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Berhad Tony Fernandes sememangnya dikenali sebagai seorang tokoh korporat yang aktif berinteraksi di laman media sosial.

Terbaru, Tony berkongsi sekeping gambar diambil bersama seorang kakitangan AirAsia bernama Hubert.

Beliau yang memuatnaik gambar tersebut di laman Facebook rasminya memberitahu netizen bahawa Hubert merupakan bekas kakitangan Malaysia Airlines yang diberhentikan semasa operasi penstrukturan semula syarikat penerbangan tersebut.

Tony menceritakan bagaimana beliau ternampak Hubert di dalam kelas di akademi AirAsia baru-baru ini semasa beliau berjalan-jalan mengucapkan selamat tahun baru kepada mereka yang berada di akademi itu.

Seterusnya Tony memberitahu pengikut di laman Facebooknya bagaimana beliau mula mengenali Hubert dahulu dan bagaimana Hubert kini berada di AirAsia.

“Pada suatu hari, saya sedang mencari teksi. Hubert menawarkan untuk menghantar saya secara percuma.

“Pada masa itu, Hubert merupakan seorang pemandu GrabCar. Kemudian, dia memberitahu saya bahawa sebelum ini dia adalah kakitangan MAS yang kini rindu untuk terbang semula.

“Jadi saya dapatkan Hubert temujanji kerja (untuk AirAsia) dan kini dia kembali terbang bersama AirAsia,” kata Tony.

Tambahnya lagi, dia tidak mengambil tawaran percuma Hubert pada masa itu, sebaliknya membayar untuk perkhidmatan GrabCar yang diberikan.

SHARE