DAP tiada pilihan kedua, kata PAP

 |Jul 10, 2017
Naib presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Ishak.

Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Ishak menyifatkan DAP tiada pilihan kedua bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain mengadakan segera pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu.

Menurutnya, tindakan itu bagi mengelakkan bakal calon parti itu daripada tidak layak bertanding atau terpaksa ‘mengemis’ simpati untuk menggunakan logo parti Pakatan Harapan.

Jelasnya, ini bukan masa untuk menunding jari kepada pihak lain selepas ROS mengumumkan pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Menurutnya, DAP sewajarnya bersyukur dan berterima kasih selepas ROS tidak mengharamkan parti tersebut.

“Memang ramai pihak yang mempertikaikan arahan ROS berkenaan yang diambil lebih empat tahun dalam membuat satu penemuan yang cukup ringkas, namun dalam tempuh berkenaan tiada sebarang komitmen positif yang diambil bagi memperbetulkan kesilapan demi kepentingan ahli bagi tujuan menggembalikan maruah parti .

“Kalau pihak kepimpinan DAP bersikap serius serta profesional demi menjaga maruah parti dan ahlinya sepatutnya satu perintah mahkamah perlu diperolehi dari dahulu lagi bagi memaksa ROS membuat keputusan segera.

“Bukannya berterusan mencabul serta memperlekehkan undang-undang dibawah Akta Ros 1966 serta menyalahgunakan perlembagaan parti di ketika tiada seorang pun pemegang jawatan CEC pusat diktiraf jawatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, isu berkenaan telah wujud sejak PRU ke-13 termasuk di dua Pilihan Raya Kecil di parlimen Bukit Gelugur dan Teluk Intan serta Pilihan Raya Negeri Sarawak yang menyaksikan calon DAP bertanding di 31 kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Ssekarang ini rakyat layak mempersoalkan mengenai status kemenangan wakil rakyat DAP yang menggunakan watikah yang tidak sah yang lebih menjurus kepada status wakil rakyat bebas.

“Jika ianya relevan dari sudut perundangan sehingga pemilihan semula diadakan serta mendapatan pengiktirafan daripada pihak ROS, ini bermakna kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya sekarang ini adalah diterajui oleh kerajaan dari wakil rakyat bebas dengan berbekalkan 19 kerusi Dun,” katanya. – MO

SHARE