DAP terima tindakan menghina Raja Melayu, dakwa Ramesh Rao

 |Jan 13, 2017
Gambar fail kredit Facebook Ramesh Rao Krishnan Naidu.
Gambar fail kredit Facebook Ramesh Rao Krishnan Naidu.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) di dalam satu kenyataan mendakwa DAP merupakan sebuah parti yang ‘menerima tindakan menghina Raja-Raja Melayu apabila tidak langsung mengambil tindakan ke atas pemimpin mereka yang melakukan tindakan tersebut sebaliknya seakan-akan menutup mata’.

Menurut presiden PMSP Ramesh Rao dalam berkata demikian merujuk kepada M Satees iaitu Setiausaha Peribadi kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang telah dilihat menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di media sosial Facebook.

Satees dikatakan telah menulis di Facebook menegur titah  Sultan Johor yang mengharamkan demonstrasi Bersih 5 diadakan di negeri itu tahun lalu.

“Parti DAP nampaknya berdiam diri dengan Satees ini dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atasnya seperti dipecat atau dikenakan tindakan disiplin parti,” kata Ramesh.

Ramesh juga berkata beliau difahamkan bahawa baru-baru ini, Satees dilantik semula ke dalam jawatan Kaunselor di Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Berikutan itu, Ramesh menganggapnya sebagai bukti DAP menerima tindakan Satees sebelum ini yang menghina Raja Melayu.

“Kalau DAP benar-benar mengikut Perlembagaan Persekutuan sudah pasti Raja Melayu dan Sultan dimartabatkan oleh parti itu dan Satees diambil tindakan dipecat dari parti.

“Ini beliau dilantik pula semula ke jawatan berkenaan, dan ini membuktikan secara jelas bahawa parti DAP sendiri tidak menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang digunakan di negara ini dan mereka sesuka hati menghina Sultan dalam keadaan tidak beradab,” dakwa Ramesh.

Difahamkan setelah dikritik mengenai tulisannya di Facebook tahun lalu, Satees kemudian bertindak memadamnya.

SHARE