‘DAP tak pernah minta jadi PM’

 |Jan 19, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa DAP meminta jawatan Perdana Menteri sekiranya pihak pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan dibuat Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini bahawa DAP akan memerintah negara jika pengundi memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 akan datang.

Seperti dilaporkan laman berita AntaraPos hari ini, Mahathir walaubagaimanapun mendakwa DAP ada meminta jawatan timbalan, berkemungkinan merujuk kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam negara ini… dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri. Tapi kalau timbalan itu, adalah.. Yang kata mereka nak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu,” Mahathir dipetik berkata.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) difahamkan berkata demikian di dalam program Warga Putrajaya bersama Tun Dr Mahathir yang diadakan di Putrajaya malam tadi.

Dalam mempertahankan DAP, Mahathir berkata parti itu tidak bersikap cauvinis seperti yang dikatakan sesetengah pihak.

“DAP ini bukanlah kuat sangat. Masa dalam Umno kita beri gambaran mereka ini sangat jahat, terlalu kecinaan dan sebagainya. Ia bukan parti Cina, ia parti pelbagai kaum,” kata Mahathir.

Mengenai dakwaan DAP mahukan jawatan Perdana Menteri, Mahathir berkata ini tidak mungkin kerana sekiranya DAP ingin menang, mereka perlu mendapatkan sokongan parti Melayu yang lain.

Terdahulu, bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa DAP dan Pribumi telah membuat pakatan rahsia untuk menjadikan Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri dan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya PH menawan Putrajaya pada PRU14.

Lim menafikan perjumpaan tersebut berlaku manakala Mukhriz menggesa Tunku Abdul Aziz mendedahkan sumber maklumatnya atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Tunku Abdul Aziz juga telah mencabar Mukhriz dan Lim untuk membuat pengakuan bersumpah bagi membuktikan bahawa kedua-dua mereka tidak mempunyai cita-cita untuk menjawat jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

SHARE