‘DAP nak try… silakan!”

 |Jan 30, 2017
Gambar fail kredit Facebook Nasrudin Hassan.
Gambar fail kredit Facebook Nasrudin Hassan.

“DAP nak try… silakan!”

Itulah cabaran dilontarkan Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berhubung kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang yang sedang mempertimbangkan untuk menyaman Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Di dalam satu kenyataan dimuat naik di laman rasmi PAS, Harakah Daily semalam, Nasrudin berkata beliau ‘mempunyai bukti kenyataan dan sikap kepimpinan DAP yang mempersendakan hukum agama Islam dan sekaligus mempamerkan semangat anti Islam mereka kepada umum’.

“Insya Allah, jika DAP saman Presiden PAS maka ratusan ribu malah jutaan umat Islam termasuk non-Muslim (bukan Islam) yang menghormati Islam akan bangkit menjadi ‘peguam bela’ pemimpin gerakan Islam itu,” kata Nasrudin.

Terdahulu, Kit Siang dilaporkan berkata kepada portal Free Malaysia Today bahawa pintu rundingan bersama PAS masih terbuka namun tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi merupakan sesuatu yang penting.

Ini adalah kerana kata-kata Abdul Hadi yang membayangkan Kit Siang sebagai anti-Islam adalah satu perkara serius, menurut penasihat DAP itu.

“Sebagai tanda prinsip dan bagi menghentikan mereka dari melontarkan tuduhan tidak berasas terhadap saya, saya tidak mempunyai pilihan lain selain dari mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang,” kata Kit Siang.

Mengulas hubungan DAP dan PAS, Nasrudin berkata, sebelum ini DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS dan kemudian bertindak menghulurkan salam perdamaian.

Ini kemudian disusuli dengan kenyataan mahu menyaman Presiden PAS, tambah Nasrudin yang berkata beliau tidak tahu apa pelan dan strategi pemimpin DAP selepas ini.

“Saya namakan pelan dan strategi DAP ini sebagai ‘Strategi Serba Tak Menjadi’. Saya percaya mereka berusaha untuk hancurkan PAS. Mereka mahu pecahbelahkan PAS dan mereka mahu PAS menjadi parti yang lemah dan tidak lagi menjadi saingan mereka di pentas politik tanah air.

“Detik mereka putuskan hubungan dengan Presiden PAS tempoh hari, mereka sangka Presiden PAS akan terus terpinggir dan kalah dalam pertandingan kepimpinan PAS sementara mereka mengharapkan boneka mereka mengambil alih kepimpinan PAS. Ternyata mereka silap dan langkah mereka tersadung,” dakwa Nasrudin.

Tambahnya lagi, seluruh ahli PAS teguh bersama Presiden mereka ‘kecuali segelintir yang rela diri mereka menjadi “kayu pengalung” kepada DAP’.

“Sebahagiannya lari meninggalkan PAS setelah gagal melampiaskan strategi dan kemahuan DAP dalam mencatur kepimpinan PAS,” katanya lagi.

Mengenai salam perdamaian dihulurkan Kit Siang kepada PAS melalui media, Nasrudin mendakwa tindakan itu tidak mempamerkan adab orang yang mahu berdamai.

“Paling tidak memohon maaf atas keceluparan lalu dan datang bertandang ke ‘rumah’ PAS membawa salam perdamaian.

“Salam perdamaian yang dihulurkan oleh DAP melewati media lagak ‘salam’ kumpulan samseng kepada musuhnya. Bukan bermaksud mendamaikan tetapi lebih bertujuan meruncingkan pertelingkahan dan mempersendakan lawan,” dakwanya.