DAP disaran ambil alih konsesi tol Sg Nyior

 |Jan 24, 2017
Plaza tol Sg Nyior. - Gambar fail kredit Facebook Lebuhraya LLB.
Plaza tol Sg Nyior. – Gambar fail kredit Facebook Lebuhraya LLB.

Berikutan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan GST dan kutipan tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta jambatan Pulau Pinang pertama jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya, Pengarah Strategik Umno Kepala Batas Azizi Safar menyarankan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengambil alih konsesi tol Sg Nyior sebagai komitmen awal janji tersebut.

Memetik laporan Umno Online, Azizi Safar berkata tidak ada maknanya jika pakatan pembangkang melontarkan janji baharu sekiranya tol Sg Nyior masih mengenakan bayaran kepada pengguna.

“Sekiranya mereka benar-benar serius mahu menghapuskan tol tersebut, bukankah kerajaan negeri boleh berbincang dengan syarikat konsesi yang menguruskan tol terbabit untuk mengambil alih dan menjadi milik kerajaan negeri sepenuhnya,” beliau dipetik berkata.

Azizi berkata tanpa menguasai Putrajaya juga pihak pembangkang boleh menunjukkan kesungguhan terhadap janji baharu mereka dengan menanggung jumlah yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi.

Beliau juga berpendapat bahawa persoalan menguasai Putrajaya adalah perkara kedua.

“Hari ini di depan mata dan mereka menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang. Takkan tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan. Kalau benar-benar nak bagi ‘free’ (percuma), subsidi dan sebagainya itulah jalannya. Jangan lagi berpolemik dan macam-macam,” katanya lagi.

Persoalan tol Sg Nyior di Butterworth itu sudah dibangkitkan dahulu apabila pemimpin MCA kawasan Bagan Khaw Tee Yong bertanya mengapa kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak membuat permohonan untuk menghentikan kutipan tol tersebut.

Khaw pada tahun 2015 berkata kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng pernah berkata pada tahun 2008 untuk memohon kepada kerajaan Persekutuan supaya tol Sg Nyior dihapuskan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tol Sg Nyior adalah di bawah pengurusan Lingkaran Luar Butterworth (LLB) yang merupakan syarikat konsesi kepada Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth