Cukai Pelancongan mula berkuatkuasa 1 Sept

 |Aug 8, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengumumkan cukai pelancongan akan mula dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia 1 September ini.

Cukai tersebut hanya membabitkan pelancong asing dimana RM10 akan dikenakan bagi setiap malam dan setiap bilik hotel atau bilik penginapan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nazri berkata beliau kesal dengan tindakan Kerajaan Sarawak yang tidak berpuas hati dengan cara pengagihan kutipan cukai pelancongan yang diterima negeri berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak perlu mendapatkan penjelasan daripada beliau secara berdepan berbanding menimbulkan persoalan berkenaan pengagihan cukai pelancongan di media massa.

“Mereka harus datang dan jumpa saya kerana semua negeri akan dapatkan bahagian mereka.

“Perkara ini diputuskan kabinet dan jika mereka mahu tahu sebarang perkara, jumpa saya, tak perlu bercakap dengan media,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Merdeka: Unity & Diversity di Balai Seni Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kerajaan Negeri Sarawak yang mempertikaikan pengurangan pendapatan yang akan diterima daripada cukai pelancongan berbanding yang dijanjikan, daripada 33% kepada 10%.

Sebelum itu, Menteri Pelancongan Sabah Masidi Manjum menjelaskan kedua-dua negeri melaksanakan promosi pelancongan sendiri dengan menggunakan kos negeri dan berharap ia diambil kira dalam pembahagian pendapatan daripada cukai pelancongan. – MO