Cubaan samun gagal, penyamun lari dikejar anjing

 |Aug 2, 2017
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli. – Gambar ihsan PDRM.

PETALING JAYA: Tindakan mangsa melepaskan anjing peliharaannya berjaya menyelamatkannya dari cubaan samun lima penjenayah di hadapan sebuah rumah di Bukit Bayu Tinggi, Klang pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.28 malam itu, mangsa berada di kawasan parkir di luar pagar rumahnya dihampiri lima lelaki menaiki sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna (MPV) dengan bersenjatakan parang panjang dan bertopeng cuba menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa
sempat melarikan diri dan terus membuka pintu pagar untuk menyelamatkan diri serta membiarkan anjing peliharaan yang berada di dalam rumah mengejar suspek.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan kerugian akibat kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kejadian tersebut, polis menahan seorang lelaki dalam satu serbuan hari ini di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang yang dipercayai terbabit.

Shamsul berkata, suspek yang berusia 30 tahun positif dadah jenis Methamphetamine ketika ujian saringan air kencing.

“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun. – MO