Chef Wan nafi terlibat dengan ‘Chef Wan Food’

 |Jul 10, 2017

KUALA LUMPUR: Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kesal dengan tindakan sebuah syarikat yang menggunakan namanya untuk mencari pelabur baru.

Perkara tersebut didedahkan menerusi akaun Instagramnya hari ini yang menjelaskan dirinya tiada kaitan dengan sebuah syarikat yang menggunakan nama yang sinonim dengan dirinya iaitu Chef Wan.

Menurutnya, pemilik syarikat yang menjalankan perniagaan katering ini pernah mengundang beliau untuk melakukan demonstrasi masakan dua tahun lalu dan menggunakan gambarnya untuk tujuan promosi.

“Sejak tahun lalu lagi, saya suruh mereka untuk tidak memaparkan gambar saya kerana boleh menimbulkan salah faham keran saya tiada kaitan dengan restoran tersebut.

“Saya tidak mahu orang ramai fikir apabila melabur dengan mereka adalah melabur dengan jenama saya.

“Mereka ingat senang-senang ke nak dapat pelaburan daripada orang lain dengan nama Chef Wan jika tak kena pada tempatnya,” tulisnya.

Menurutnya, nama Chef Wan sudah didaftarkan lebih 20 tahun lalu dan beliau pelik apabila syarikat tersebut yang baru enam tahun ditubuhkan boleh menggunakan nama yang sama.

“Tak ke mereka terfikir nak elak kan guna nama lain so that the public tak keliru?

“Saya akan mendapatkan nasihat peguam bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” tulisnya lagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan tidak mudah terpedaya.

Pemerhatian di laman Facebook syarikat yang didakwa Chef Wan menggunakan namanya itu mendapati, pemiliknya sedang mencari rakan kongsi bagi perniagaan Francais Restoran, Pembangunan Katering, Cooking Class Road Tour serta pelbagai acara lain.

Bagaimanapun, dalam entri tersebut jelas memaparkan restoran tersebut tiada kaitan dengan Chef selebriti berkenaan. – MO