Chang Wah Tey pakar tebar roti canai

 |Aug 10, 2017

KUALA LUMPUR: Melihat penebar roti canai dalam kalangan masyarakat India atau Melayu, ia bukanlah situasi asing. Namun, sekiranya tugas itu dilakukan orang Cina, ia sesuatu yang unik.

Itu yang dilakukan Chang Wah Tey yang terkenal dalam kalangan penduduk sekitar yang berbilang bangsa kerana kepakarannya menebar roti canai.

Bekas penoreh getah yang berusia 65 tahun ini sangat mencintai roti canai sehingga sanggup mempelajari rahsia dan cara pembuatannya.

“Chang Wah Tey bukan sahaja pemilik kedai, malah turut menguli dan menebar sendiri roti canai sejak 18 tahun lalu,” tulis akaun @mynegaraku menerusi Instagram.

Dia yang berasal dari Kampung Tengah di Segamat, Johor ini akhirnya mampu membuka sebuah kedai kopi miliknya sendiri untuk menjual makanan kesukaan ramai itu.

Kedai kopi yang sudah 18 tahun beroperasi dibuka setiap hari kecuali jika beliau dan isterinya keluar bercuti.

Bapa kepada empat orang anak ini mempelajari kaedah membuat roti canai daripada kenalannya iaitu seorang India Muslim selama empat bulan sebelum memulakan perniagaan.

Kepakaran Wah Tey ini sama seperti Goh Beng Kwee, 64, dari Negeri Sembilan yang sudah 54 tahun menebar roti canai selepas mempelajari teknik tersebut daripada bapanya.

Jelas sekali, hidup dalam kepelbagaian bangsa di negara ini tidak menghalang sesiapa sahaja untuk arif dalam perkara yang sering dipelopori oleh satu kaum. – MO